Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Jumlah perdagangan Ogos meningkat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak $2,771.3 juta pada Ogos 2022, peningkatan sebanyak 37.3 peratus daripada $2,018.5 juta pada Ogos 2021 dengan peningkatan disumbangkan oleh kenaikan nilai eksport dan import antara tempoh berkenaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, berbanding Julai 2022, jumlah perdagangan menurun sebanyak 7.8 peratus disebabkan penurunan jumlah eksport dan import terutamanya bahan api galian.

    Jumlah eksport meningkat sebanyak 35.3 peratus daripada $1,246.4 juta pada Ogos 2021 kepada $1,687 juta pada Ogos 2022, terutamanya disebabkan oleh peningkatan eksport bahan api galian iaitu daripada $1,013.4 juta kepada $1,405.5 juta dalam tempoh yang sama.

    Di samping itu juga, eksport bahan kimia meningkat daripada $213.1 juta kepada $250 juta dalam tempoh yang sama.

    Peningkatan eksport bahan api galian didorong oleh peningkatan nilai eksport minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum.

    Peningkatan eksport minyak mentah terutamanya disebabkan peningkatan harga purata sebanyak 53.6 peratus daripada AS$72.79 setong pada Ogos 2021 kepada AS$111.81 setong pada Ogos 2022.

    Manakala, peningkatan eksport LNG juga disebabkan kenaikan harga eksport sebanyak 53.1 peratus daripada AS$9.92 per MMBtu kepada AS$15.19 per MMBtu.

    Bagi eksport produk petroleum, ia telah mencatatkan peningkatan daripada $400.7 juta kepada $756.8 juta, yang mana komoditi utama adalah bahan api diesel automotif.

    Dari segi komoditi eksport, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 83.3 peratus, diikuti dengan bahan kimia iaitu 14.8 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 0.7 peratus.

    Pasaran eksport utama pada Ogos 2022 adalah Malaysia dengan 23.2 peratus, diikuti oleh Australia dengan 22 peratus dan Singapura dengan 18.8 peratus. Komoditi eksport terbesar ke Malaysia, Australia dan Singapura adalah bahan api galian.

    Jumlah nilai import meningkat daripada $772.1 juta pada Ogos 2021 kepada $1,084.3 juta pada Ogos 2022 terutamanya disebabkan oleh peningkatan import bahan api galian sebagai input pengeluaran bagi industri petrokimia hiliran.

    Lima komoditi import utama pada bulan berkenaan adalah bahan api galian dengan 62.1 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan 15.9 peratus, makanan 6.7 peratus, barang-barang keluaran kilang 5.5 peratus dan bahan kimia 5.2 peratus.

    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia dengan 41.2 peratus, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu dengan 13.7 peratus dan Republik Rakyat China dengan 11.2 peratus di mana komoditi import terbesar adalah bahan api galian.

    Kebanyakan import negara iaitu sebanyak 59 peratus adalah digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan diikuti oleh barangan modal iaitu 37.5 peratus bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan iaitu 3.5 peratus bagi kegunaan isi rumah.

    Pengangkutan melalui laut menyumbangkan bahagian tertinggi bagi kedua-kedua eksport dan import berjumlah $2,605.8 juta atau 94 peratus dan ia diikuti oleh pengangkutan udara berjumlah $133.7 juta atau 4.8 peratus dan melalui darat berjumlah $31.7 juta atau 1.1 peratus.

    Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Ogos 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...