Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Negara Brunei Darussalam mencatatkan satu daripada 48 orang kanak-kanak menghidap austisme pada tahun 2023 dan hampir 800 rujukan setahun ke Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC).
Walau bagaimanapun, bilangan doktor dan jururawat serta pakar kesihatan bersekutu tidak mencukupi untuk menampung permintaan bagi perkhidmatan tersebut.
Perkara tersebut ditekankan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Simposium Pediatrik 2023, Dr Hajah Mawarni binti Haji Abdul Hamid dalam ucapannya pada majlis yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Pembukaan simposium sehari anjuran Jabatan Pediatrik, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan CDC itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.
Menurut Dr Hajah Mawarni lagi, disebabkan peningkatan bilangan rujukan, berlaku senarai menunggu yang panjang untuk mereka yang memerlukan perkhidmatan. Beliau bagaimanapun menekankan ia tidaklah seteruk di negara maju yang lain seperti United Kingdom dan Australia di mana masa untuk berjumpa pakar pediatrik perkembangan boleh mencecah selama dua tahun.


“Di sini, senarai menunggu kami untuk berjumpa doktor adalah antara beberapa hari hingga tujuh bulan, bergantung kepada keadaan dan jenis rujukan. Walau bagaimanapun, masa untuk mendapatkan penilaian untuk didiagnosis sebagai autisme, mungkin lebih lama,” ujarnya.
Beliau sedar bahawa penantian selama berbulan-bulan boleh memenatkan kedua-dua ibu bapa dan pakar profesional kesihatan, maka dengan itu, pasukan CDC telah merancang dan memastikan masa menunggu ini tidak akan disia-siakan.
Kira-kira 75 peratus daripada rujukan adalah kanak-kanak yang mengalami kelewatan pertuturan dan bahasa.
“Seperti yang kita sedia maklum, kelewatan pertuturan dan bahasa boleh disebabkan oleh banyak perkara. Banyak kes mungkin disebabkan oleh kelewatan perkembangan bahasa dan kemudiannya kembali seperti biasa, manakala bagi sesetengah kanak-kanak kelewatan itu merupakan simptom untuk kecacatan intelek atau masalah perkembangan saraf seperti gangguan spektrum autisme dan sebagainya,” jelas beliau lagi.
Seramai 250 peserta terdiri daripada doktor, jururawat, profesional kesihatan bersekutu dan profesional penjagaan kesihatan lain telah menghadiri Simposium Pediatrik 2023 itu.
Menurut kenyataan, simposium berfungsi sebagai platform untuk pembangunan kesihatan profesional yang berterusan dan simposium tahun ini diterajui oleh CDC kerana ia memberi tumpuan kepada topik penting kepada kanak-kanak.
Beberapa ceramah telah disampaikan oleh para pakar tempatan dan penceramah jemputan.
Semasa simposum berkenaan, Persatuan Pediatrik Brunei (BPS) turut dilancarkan oleh tetamu kehormat dengan moto BPS iaitu ‘Komited untuk Kesihatan dan Kesejahteraan Semua Kanak-kanak’.
Moto berkenaan menunjukkan keazaman persatuan untuk mendokong semua isu yang berkaitan dengan pediatrik dan kesihatan kanak-kanak. Ini meliputi bukan sahaja kesihatan fizikal tetapi juga mental, sosial dan kesejahteraan rohani kanak-kanak di negara ini.
Simposium ini diharap dapat memberi panduan tentang perkembangan kanak-kanak dan dengan berbuat demikian, ia dapat membantu memperkasa profesional penjagaan kesihatan dengan alat dan maklumat yang diperlukan untuk menasihati keluarga tentang rangsangan yang sesuai aktiviti sejak kecil lagi.

