PHNOM PENH, 14 OGOS – Kemboja mencatatkan peningkatan signifikan dalam tangkapan dan rampasan dadah semasa tempoh tujuh bulan pertama 2022, menurut laporan Jabatan Polis Antidadah (ADP) yang dikeluarkan kelmarin.
Pihak berkuasa telah menahan 9,151 orang suspek berkaitan dengan dadah semasa tempoh Januari hingga Julai tahun ini, meningkat 16 peratus daripada 7,876 orang pada tempoh yang sama tahun lalu.
Rampasan dadah tahun ini termasuk heroin, ekstasi, kokain, methamphetamine dan lain-lain.
Menurut laporan, kira-kira 201 tan bahan dadah, 17 pucuk pistol, 31 senapang raifal, 74 buah kenderaan, 3,099 telefon, 228 alat timbangan dan wang tunai turut dirampas daripada suspek semasa tempoh yang sama tahun ini.
Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen menggesa untuk tindakan lebih tegas untuk menghapuskan dadah haram, dan berkata menentang aktiviti berkaitan dadah telah diberikan keutamaan.
“Saya ingin menyeru kepada semua, terutama ibu bapa dan penjaga, untuk terus menyokong dan bersama-sama menentang dadah haram dan memberikan pendidikan kepada anak-anak agar menjauhi dadah dan kegiatan negatif lainnya bagi masa depan mereka,” katanya semasa Hari Menentang Dadah Antarabangsa pada 26 Jun lalu.
Kemboja tidak menjatuhkan hukuman mati ke atas pengedar dadah. Di bawah undang-undang negara itu, sesiapa yang didapati bersalah menyeludup lebih 80 gram dadah haram boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup. – Xinhua
