Pelakon Nad Zainal terus menjadi perhatian warganet berhubung kemelut persahabatan dengan beberapa artis yang pernah rapat sebelum jatuh sakit dan difahamkan banyak membantu, namun, didakwa dilupakan selepas dia kembali sihat.
Selain Nabila Huda, tampil pelakon Sharifah Sakinah, 34, menerusi hantaran Instagram (IG) yang menjelaskan dia tidak lagi mempunyai apa-apa-apa hubungan dengan pelakon drama Cina Buta itu.
Menariknya, pada hantaran dibuat, Sakinah berkongsi semula doa yang pernah ditujukan kepada Nad ketika koma serta harapan positif untuk menunggu sahabatnya itu sedar semula kerana disifatkan dia insan istimewa, lapor HM Online.
“Mari kita ketuk pintu yang sama, membawa amin paling serius seluruh dunia. Kepada kesayangan saya, Nanad (panggilan Nad Zainal), awak kuat, awak istimewa dan penyayang. Kami semua di sini mendoakan untuk awak dengan penuh harapan dan menunggu. Awak dalam perjuangan ketika kami semua terus berdoa,” tulis Sakinah pada hantaran fotonya yang menghadap pintu.
Bagaimanapun, pada bahagian kapsyen foto, Sakinah memberi bayangan bahawa semua doa yang pernah dititip buat Nad ketika koma di hospital, tahun lalu, sudah boleh di padam dan mereka mungkin bertemu semula di alam lain (akhirat).
“Dah boleh padam hantaran ini. Saya jumpa awak di alam lain. Di situ tiada radar. Berkata-katalah dari dalam hati, letakkan kaki awda di bumi. Fikiran narsistik, kata-kata palsu dan penafian akan menjadi takdir awda,” tulisnya sinis yang membawa maksud mendalam sebagai suatu peringatan. – Agensi


