Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumpa cincin emas dalam hutan

    Oleh Mansor B –

    Kisah ini terjadi pada emak dan adikku, beberapa tahun yang lalu. Sebenarnya emakku rajin mencari sayur hutan, umbut dan kulat hutan (cendawan hutan) berdekatan dengan belakang rumah kami. Maklumlah orang-orang tua kita tak berapa suka makan ayam, daging atau sayur yang dijual di kedai atau pasar. Kata emakku sayur yang dijual di pasar banyak menggunakan baja kimia dan racun.

    Suatu hari emak bercadang hendak ke hutan mahu mencari sayur pakis dan lamiding, tambahan pula hutan di belakang rumah kami itu memang banyak sayur begitu. Kata emak kalau pun tak ada sayur umbut rotan pun jadi, emak membawa adikku bersama, kata emak kalau dia seorang sahaja yang pergi tidak pula dia berani dan lebih baik bawa teman untuk berbual di sepasang jalan nanti.

    Awal-awal pagi lagi, kira-kira pukul 8:25 mereka berdua bersiap-siap hendak ke hutan, kata emak pagi-pagi beginilah yang baiknya untuk mencari sayur di hutan. Kerana tidak panas dan sayur masih segar untuk dibawa balik. Dalam hutan itu emak dan adikku banyak dapat sayur lamiding, cuma pakis tidak ada. Oleh kerana terlalu asyik mengambil sayur itu mereka berdua tidak sedar yang mereka sudah jauh masuk ke dalam hutan. Emak semakin banyak dapat umbut rotan dan hampir penuh tekidingnya dengan umbut rotan.

    Umbut-umbut pada ketika itu mungkin musimnya banyak jadi disebabkan itu emak terlalu asyik gembira dan sudah lupa untuk pulang. Setelah penat baru emak dan adikku berhenti di sepohon pokok yang agak tinggi pohonnya.

    Emak berehat sambil minum kopi, sementara adikku pula cuma duduk-duduk di sebelahnya. Sedang mereka berehat itu tiba-tiba emak ternampak sesuatu di atas sebatang tunggul kayu besar.

    Gambar Freepik

    Alangkah terkejutnya emak dan adikku kerana terlihat sebentuk cincin emas yang sungguh cantik, tak pernah seumur hidup emak melihat cincin sebegitu cantik. Emak mengambil cincin itu lalu melihat kiri dan kanan kalau-kalau ada orang di situ keciciran. Adikku pula mula ikut melihat-lihat di kawasan hutan kalau ada sesiapa tetapi kelihatan sunyi cuma kedengaran bunyi kicauan burung dan suara monyet saja.

    “Siapa pula yang sanggup meninggalkan cincin di tempat begini? Agaknya ada orang yang ke sini dua tiga hari lepas,” emakku berkata-kata sendirian. Adikku pula lain halnya, dia menyuruh supaya emak membawa cincin itu balik ke rumah, pada mulanya emak keberatan, takut kalau cincin itu ada yang empunya, nanti dituduh mencuri pula. Tapi setelah berfikir panjang akhirnya emak bawa balik juga.

    Emak dan adikku mula berjalan pulang dengan membawa umbut rotan dan sayur lamiding dan sebentuk cincin emas. Tiba di halaman rumah, saya sudah menunggu kedatangan mereka berdua. Hatiku rasa gembira kerana emak dapat banyak umbut lalu aku membawa tekiding masuk ke dalam. Emak berehat di beranda rumah, aku mula memotong sayur di dapur.

    Di dapur pula adikku terus mendapatkan aku, aku bertanya “ada apa?” lalu kata adik mereka terjumpa cincin emas di hutan tadi. Aku pun hairan campur terkejut, apa tidaknya baru pernah aku dengar berita orang jumpa cincin tengah hutan.

    “Di mana kau simpan cincin itu?” tanyaku, “ada pada emak,” kata adikku.

    Aku terus menemui emak dan bertanya kepadanya, betul atau tidak mereka terjumpa sebentuk cincin emas di hutan. Hairan juga aku apabila emak memberitahu yang memang benar mereka terjumpa cincin emas itu. “Tapi kenapa dibawa ke rumah?” kataku. “Sebab cincin ini tidak ada yang punya, jadi kami bawalah balik,” kata emak.

    Emak mengeluarkan cincin emas itu dari sapu tangan, aku terpegun sejenak apabila melihat itu, ukirannya berbentuk naga. Lalu aku suruh emak simpan dulu dan bila ayah pulang bolehlah bertanya kepadanya. Aku pula tidak ada komen apa-apa tentang cincin itu.

    Cuma aku agak bertanya-tanya di dalam hati siapakah yang punya cincin yang cantik itu.

    Difikiran aku menyangkakan yang bukan-bukan,“Jangan-jangan hantu, atau jembalang yang punya?”

    Kebetulan ayah pulang makan tengah hari ke rumah, belum pun sempat ayah duduk di kerusi aku sudah sedia membuka cerita mengenai penemuan cincin itu. Ayah terkejut dan terus mendapatkan emak di dapur. Mana cincin yang kamu dapat itu…?” Kata ayah. “Ada, ni cuba lihat, cantik tak,” kata emak pada ayah, berkedut dahi ayah melihat cincin itu. Ayah mula bertanya berpuluh-puluh soalan pada emak dan adikku, ayah mula duduk lalu kami bertiga pun disuruh duduk.

    Sebenarnya ayah hendak marah kepada emak kenapa sampai membawa cincin itu balik ke rumah. Ayah mula nasihatkan agar memulangkan semula cincin itu, sebab cincin itu ada yang empunya. Hampa hati emak dan adik kerana tidak dapat memakai cincin itu.

    Tapi walau macam mana pun cincin itu mesti dikembalikan ke tempat asalnya kerana mengikut petua orang tua-tua apa yang kita jumpai di hutan seperti cincin atau buah yang bukan musimnya terletak di mana-mana sahaja terutama dalam hutan, ini bererti semua yang kita temui itu ada pemiliknya, umpamanya makhluk halus, iblis.

    Ini yang kita takutkan, takut kalau terjadi hal yang tak kita duga dibelakang hari.

    Kami semua terdiam dan mendengar saja cerita ayah. Petang itu juga emak dan ayah ke hutan semula untuk menghantar cincin itu. Setelah cincin itu dikembalikan, ayah membaca sesuatu di situ dan pulang.

    Selepas dua tiga hari cincin itu dikembalikan, pada suatu malam emak bermimpi yang mana cincin itu hilang dari tempat asalnya, puas penunggu hutan itu mencari namun tidak berjumpa, lalu dia menunggu hingga tengah malam untuk mencari pencuri cincin itu.

    Cincin dijumpai semula, lalu dia bercerita pada emak bahawa cincin itu kepunyaan raja penunggu hutan di situ dan pohon kayu yang batangnya tinggi dan berdaun rendang itu adalah tempat raja bersemayam. Emak lalu terbangun dan terus mengejutkan ayah, hal mimpinya itu. Emak ceritakan pada ayah dan kami semula. Mulai saat itu kami tak berani lagi membawa benda-benda yang tak tahu asal-usulnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda