Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jumpa doktor jika alami simptom Cacar Monyet

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Setakat 15 Jun 2022, terdapat sekitar 2,027 kes jangkitan cacar monyet (monkeypox) yang disahkan dalam kalangan 36 buah negara di mana jangkitan itu biasanya tidak dilaporkan, terutama di Eropah, Amerika Syarikat dan Amerika Latin.

    Penularan jangkitan cacar monyet adalah melalui kontak fizikal langsung di mana kebanyakan kes didapati merebak melalui hubungan seksual dan hubungan intim.

    Maklumat terkini mengenai jangkitan virus cacar monyet dikongsi oleh Konsultan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Beliau turut menyatakan analisis PCR menunjukkan bahawa strain virus yang dikesan di negara bukan endemik adalah tergolong dalam West African clade.

    Dr Justin turut menerangkan mengenai simptom-simptom jangkitan cacar monyet yang mana simptom utama ialah ruam, demam dan pembengkakan kelenjar limfa.

    Dr Justin Wong ketika memberi penerangan kepada pihak media mengenai jangkitan cacar monyet semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Sementara itu, simptom-simptom lain adalah termasuk sakit kepala, sakit otot, lenguh tubuh badan atau keletihan.

    Simptom jangkitan cacar monyet itu, katanya, boleh kelihatan serupa dengan chickenpox, penyakit kayap dan jangkitan kulit tertentu. Dalam kebanyakan kes, simptom berkenaan akan hilang dalam masa dua hingga empat minggu.

    Oleh itu, jika awda mengalami simptom-simptom berkenaan, adalah dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi siasatan lanjut.

    Semasa sidang media itu, Dr Justin Wong juga mengongsi pelan kesediaan untuk pencegahan dan kawalan bagi penyakit cacar monyet di mana strategi kesediaan dan respons Negara Brunei Darussalam dibahagikan kepada lima bahagian iaitu surveilans yang meliputi pengesanan awal kes, siasatan kes dan pengesanan kontak, ujian makmal iaitu ujian bagi cacar monyet menggunakan RT-PCR, vaksinasi dan perubatan di mana vaksinasi secara menyeluruh tidak diperlukan pada masa ini tetapi vaksinasi boleh diberikan kepada kontak terdekat untuk menggelak atau mencegah sakit teruk akibat jangkitan dengan perolehan vaksin sedang dijalankan.

    Pencegahan dan kawalan jangkitan dilaksanakan dengan ujian dan rawatan dijalankan di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) serta penglibatan masyarakat di mana orang ramai disarankan untuk meningkatkan kesedaran mengenai jangkitan itu dan golongan berisiko tinggi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda