Oleh Haji Abd Tarif –
Pada tahun 1970an, saya dan adik perempuan saya bersama rakan-rakan yang lain sering bertandang ke rumah orang untuk menonton televisyen. Masa itu umur saya baru 10 tahun. Dan televisyen pun sukar dimiliki oleh semua orang.
Oleh kerana minat wayang kartun, saya dan rakan-rakan sebaya saya selalu balik jauh-jauh malam selepas menonton televisyen di rumah orang.
Pada suatu malam, saya dan adik saya seperti biasa pergi ke rumah saudara saya yang tidak jauh dari rumah saya untuk menonton rancangan kartun yang diminati.
Jam sudah menunjukkan pukul 11:30 malam, saya baru sedar rakan-rakan lain sudah pulang dan hanya tinggal saya, adik saya dan teman saya, Lamat. Kami bertiga pun mengorak langkah keluar dari rumah saudara saya.
Belum pun jauh kami bertiga meninggalkan rumah saudara kami itu, perjalanan kami terhenti apabila kami bertiga sama-sama terpandang sesusuk lembaga berbadan besar berdiri di tangga jambatan seolah-olah menghisap rokok dengan menampakkan cahaya bulat yang berwarna merah.

Yang anehnya lagi dan menakutkan kami, lembaga tersebut tidak mempunyai kepala dan kemunculan lembaga itu telah menghalang perjalanan kami. Dengan perasaan takut kami bertiga pun berlari kembali ke rumah saudara kami tadi.
Walaupun rumah saudara kami itu telah ditutup pintunya, kami tidak berkata apa-apa dan cuba menenangkan keadaan walaupun di saat kami ketakutan tiada seorang yang menyedarinya, lebih-lebih lagi kami bertiga dapat melihat keadaan dalam rumah saudara kami telah gelap. Hanya di luar rumahnya tempat kami bertiga berdiri masih terang dengan cahaya lampu.
Malam semakin sunyi, perasaan cemas dan takut kembali menghantui kami bertiga dan kami lihat lembaga tersebut masih tidak mahu lari dan berjalan mundar-mandir dekat dengan tangga tersebut. Memandangkan rumah saudara saya dan rumah saya tidak berapa jauh maka saya pun mengambil keputusan untuk menjerit memanggil emak saya dengan sekuatnya, adik saya juga turut menjerit memanggil “ma…ma…ambil kami ma…!!! Kami takut…!!!” Sudah beberapa kali kami menjerit, dengar sahutan suara emak saya.
“Wang…Dang…! Kamu di mana tu….!” Jerit emak saya lalu saya membalas, “Di sini ma…! Lantas emak saya menjawab lagi, “Wang….Dang….jangan ke mana-mana tunggu saja di sana nanti mak datang….”
Mendengar kata-kata emak saya itu, kami bertiga pun berasa lega. Yang anehnya bila nampak emak saya datang dengan membawa lampu picit, lembaga yang tidak berkepala itu hilang begitu saja lalu emak saya menghampiri kami bertiga dan bertanya.
“Kenapa ni…biasanya inda macam ani…apa yang kamu takutkan!” Saya terus menjawab perlahan, “Ada hantu tak berkepala menghisap rokok di tangga itu…. ma, sebab itulah kami takut nak pulang…” Emak terdiam mendengar penjelasan saya dan mula membawa kami bersama, dalam perjalanan adik saya dan teman saya memegang erat tubuh emak saya sementara saya berjalan di depan sambil memegang baju emak saya, dalam saat itu saya dapat rasakan emak saya juga merasa takut apa yang saya katakan tadi.
Sehabis saja kami melimpasi tangga tersebut, sempat juga saya dan emak saya menoleh ke belakang ke arah tangga itu dan terus terpandang lembaga yang tidak berkepala itu muncul kembali dengan menampakkan cahaya bulat berwarna merah seperti menghisap rokok. Emak saya terperanjat dalam ketakutan dan emak sempat mengucapkan kalimah Subahanallah berkali-kali dan terus mengarahkan kami berlari. Kami pun berlari sehingga sampai ke rumah, emak terduduk ketakutan dan terdiam seketika apabila keadaan telah reda, emak pun memberi kata nasihat kepada kami bertiga.
“Nah…! Wang….Dang…..Lamat lain kali usahlah balik akhir-akhir menonton televisyen atu! Kalau nak menonton pergilah ke rumah saudara kita yang lain lagi, walaupun jauh sedikit rumahnya inda mengapa….kerana kawasan sekitarannya terang-benderang, mak pun berasa takut jua apa yang mak lihat tadi….syukurlah kita tak apa-apa,” ujar mak.
Kami bertiga menerima nasihat emak itu dan sejak peristiwa yang menakutkan itu, kami pun tidak berani pulang lewat bila menonton televisyen dan juga minat kami bertiga menonton rancangan televisyen semakin berkurangan hinggalah bapa saudara saya yang serumah dengan saya membeli sebuah peti televisyen.
Setakat itu saja pengalaman yang dapat saya kongsikan bersama, semoga ianya akan menjadi contoh teladan kepada adik-adik atau anak-anak yang masih di bawah umur. Yang bijak jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.