PARIS, 2 JULAI – Perancis mencatatkan bulan kedua terpanas pada Jun sejak rekod suhu dimulakan pada tahun 1900, menurut Kementerian Peralihan Ekologi negara itu hari ini, ketika Eropah sedang bergelut dengan gelombang haba awal musim panas.
Suhu tinggi yang melanda seluruh Eropah minggu ini telah memecahkan rekod, memaksa hampir 2,000 buah sekolah di Perancis ditutup pada waktu tengah hari kelmarin.
“Jun 2025 menjadi bulan kedua terpanas sejak rekod suhu bermula pada 1900, selepas Jun 2003,” kata Menteri Ekologi, Agnes Pannier-Runacher, hari ini.
Suhu pada Jun 2025 adalah 3.3 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata bermusim, manakala pada Jun 2003 pula mencatat peningkatan 3.6 darjah Celsius, menurut kenyataan pejabatnya.
“Lebih 300 orang telah menerima rawatan daripada pasukan bomba dan dua orang dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit berkaitan haba,” tambah Pannier-Runacher.
Pejabatnya kemudian menjelaskan bahawa kematian tersebut bukanlah jumlah rasmi, tetapi berdasarkan laporan media.

Menteri Kesihatan Perancis, Catherine Vautrin mengesahkan ‘masih terlalu awal’ untuk membuat penilaian keseluruhan mengenai kesan gelombang haba tersebut.
“Apa yang boleh saya nyatakan ialah semalam berlaku peningkatan dalam aktiviti perkhidmatan kecemasan di wilayah Ile-de-France, dengan peningkatan ketara sebanyak 15 peratus,” katanya menerusi siaran televisyen BFMTV.
Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa anggaran awal kematian berlebihan akibat gelombang haba akan diterbitkan kira-kira dua minggu selepas ia berakhir.
Namun, laporan terperinci yang menunjukkan jumlah kematian berkait suhu panas ekstrem berserta data perubatan hanya akan dikeluarkan sekitar musim luruh.
Kira-kira 3,700 kematian berkaitan haba dilaporkan pada tahun 2024, iaitu tahun tanpa sebarang amaran merah untuk gelombang haba. – AFP

