KUALA LUMPUR, 6 JULAI – Pemain badminton perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao tidak berhadapan masalah melepasi pusingan keempat hari ini, bagi melayakkan diri ke peringkat suku akhir Kejohanan Kebangsaan 2023 di sini.
Pemain pilihan pertama kejohanan itu hanya memerlukan 48 minit untuk menewaskan rakan sepasukan dan pemain pilihan ke-13 Hooi Shao Herng, 21-17, 21-15, pada kejohanan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Pemain ke-54 dunia itu memberitahu Bernama, beliau berpuas hati dengan prestasinya hari ini dan menjangkakan berhadapan cabaran sukar bertemu bekas rakan sepasukan Lim Chong King, bagi menempah tempat ke separuh akhir pada Sabtu.
“Semuanya baik hari ini. Untuk esok saya rasa ia akan agak sukar, kerana saya kenal Chong King sejak peringkat remaja lagi,” katanya.
Chong King pula layak ke suku akhir selepas menewaskan seorang lagi pemain kebangsaan Chia Jeng Hon, 21-15, 21-18, dalam satu lagi perlawanan pusingan keempat.
Sementara itu, bekas juara dua kali Lim Chi Wing dari Kuala Lumpur membuktikan beliau masih berbisa apabila berjaya mengejutkan pemain kebangsaan yang juga pemain pilihan keempat kejohanan Ong Ken Yon, 19-21, 21-15, 21-15.
“Saya tidak menghadapi sebarang tekanan ketika bertemu Ken Yon dan kelihatannya beliau lebih meng-hadapinya daripada saya,” katanya. – Bernama


