Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jun paling panas dalam rekod

    PARIS, 8 JULAI – Bulan lepas adalah Jun paling panas dalam rekod di seluruh dunia, kata pemantau iklim Kesatuan Eropah (EU) pada hari ini, menutup setengah tahun cuaca yang tidak menentu dan merosakkan daripada banjir hingga gelombang panas.

    Setiap bulan sejak Jun 2023 telah mengatasi rekod suhunya sendiri dalam 13 bulan berturut-turut haba global yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S).

    “Ini lebih daripada satu keanehan statistik dan ia menyerlahkan perubahan besar dan berterusan dalam iklim kita,” kata pengarah perkhidmatan itu, Carlo Buontempo.

    “Walaupun rentetan cuaca ekstrem ini berakhir pada satu ketika, kita pasti akan melihat rekod baharu dipecahkan apabila iklim terus hangat.”

    Ini “tidak dapat dielakkan” selagi manusia terus menambah gas penangkap haba ke atmosfera, katanya.

    Pelawat berjalan di bawah terik matahari di Badwater Basin di Taman Negara Death Valley, berhampiran Furnace Creek, semasa gelombang panas yang melanda California Selatan pada 7 Julai. – AFP

    Purata suhu global yang dicatatkan pada bulan lepas memecahkan rekod Jun sebelumnya yang dicatat pada 2023.

    Paras tinggi baharu itu muncul pada titik pertengahan tahun yang ditandai dengan cuaca-cuaca melampau.

    Panas terik telah menyelubungi seluruh dunia dari India hingga Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS) dan Mexico pada separuh pertama tahun ini.

    Hujan tanpa henti, fenomena yang saintis turut kaitkan dengan planet yang lebih panas, menyebabkan banjir besar di Kenya, China, Brazil, Afghanistan, Rusia dan Perancis.

    Kebakaran hutan telah membakar tanah di Greece dan Kanada dan minggu lalu, Taufan Beryl menjadi taufan Atlantik kategori lima paling awal dalam rekod apabila ia melanda beberapa pulau Caribbean.

    Rentetan suhu yang memecahkan rekod berbetulan dengan El Nino, fenomena semula jadi yang menyumbang kepada cuaca lebih panas di seluruh dunia, kata Julien Nicolas, seorang saintis kanan di C3S.

    “Itu adalah sebahagian daripada faktor di sebalik rekod suhu, tetapi ia bukan satu-satunya (faktor),” katanya kepada AFP.

    Suhu lautan juga telah mencapai paras tertinggi baharu.

    Rekod suhu permukaan laut di Atlantik, Pasifik Utara dan Lautan Hindi turut menyumbang kepada haba yang melambung tinggi di seluruh dunia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda