Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jungkook BTS akui hidap ADHD

    Ahli kumpulan BTS, Jungkook membuat pendedahan mengejutkan apabila mengesahkan dirinya menghidap sindrom Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan atau ADHD ketika sedang berinteraksi bersama peminat.

    Perkara itu berlaku ketika sesi siaran langsung pada 29 Ogos lalu, apabila ada peminat menegur gelagatnya yang tidak duduk diam dalam tempoh berkenaan.

    Menjawab teguran tersebut, Jungkook menjelaskan dia memang sukar untuk duduk diam kerana menghidap ADHD. 

    Katanya, pergerakan spontan itu adalah sesuatu yang tidak dapat dikawal dan sudah menjadi sebahagian daripada dirinya.

    “Saya banyak bergerak ya? Tapi saya tak boleh kawal. Saya rasa ini ADHD dewasa. Saya memang ada (ADHD). Sebab itu saya asyik bergerak macam ni,” katanya.

    Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa bangga dan tersentuh kerana Jungkook bersikap terbuka mengenai keadaan dirinya.

    Malah, tidak kurang juga yang berharap selepas ini tiada lagi pihak yang akan mengkritik pergerakan fizikal Jungkook kerana tindakan seperti ‘stimming’ (gerakan berulang seperti menggoyangkan badan atau tangan) adalah sebahagian daripada cara individu ADHD mengawal emosi atau menenangkan diri.

    Sebelum ini, seorang lagi bintang K-Pop iaitu Jackson Wang dari kumpulan GOT7 turut pernah mengakui dirinya disahkan menghidap ADHD, sekali gus membuka mata ramai pihak tentang pentingnya kesedaran kesihatan mental dalam industri hiburan.

    Untuk pengetahuan, ADHD merupakan sejenis gangguan perkembangan neurologi yang biasanya menyebabkan seseorang sukar untuk fokus, duduk diam, atau mengawal impuls. Ia boleh berterusan dari zaman kanak-kanak hingga ke usia dewasa, dan setiap individu mungkin menunjukkan simptom berbeza. – Agensi

    Jungkook mengakui dia hidap ADHD. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda