YANGON, 25 JAN – Penunjuk perasaan yang memukul periuk dan belanga dalam membantah rampasan kuasa tahun lalu boleh didakwa dengan penderhakaan, junta memberi amaran hari ini, beberapa hari sebelum ulang tahun pertama rampasan kuasa berkenaan.
Rampasan kuasa 1 Februari itu menyingkirkan kerajaan Aung San Suu Kyi dan menyebabkan negara Asia Tenggara itu bergolak, dengan ekonomi menjunam dan hampir 1,500 orang awam terbunuh dalam tindakan keras terhadap penentang.
Hampir setahun kemudian, junta bergelut untuk mematahkan tentangan terhadap pemerintahannya, dengan Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) kerap bertempur dengan tenteranya di kebanyakan kawasan.
Tentera berkenaan telah mengisytiharkan semua kumpulan PDF, serta ‘Kerajaan Perpaduan Nasional’ (NUG) yang dominasi oleh para penggubal perundangan dari parti Suu Kyi, sebagai ‘pengganas’.
Dalam kenyataan hari ini, ia menyatakan bahawa kumpulan-kumpulan PDF dan NUG telah menggalakkan orang ramai untuk “memusnahkan kestabilan negara… dengan mogok senyap, bertepuk, memukul periuk dan belanga, memubunyikan hon dan sebagainya”.
Mereka yang terlibat dalam bantahan bising “atau yang berkongsi propaganda” menentang tentera boleh didakwa dengan penderhakaan di bawah udang-undang anti pengganasan atau dengan dakwaan menghasut menentang tentera, tambahnya. – AFP
