BANGKOK, 20 JULAI – Tentera junta Myanmar didakwa melakukan jenayah perang dengan menanam periuk api ‘berskala besar’ di sekitar perkampungan di mana mereka bertempur dengan pejuang antirampasan kuasa, kata Amnesty International hari ini.
Pertempuran berleluasa di seluruh negara sejak rampasan kuasa tahun lalu, yang mencetuskan pertembungan baharu dengan kumpulan pemberontak etnik dan pembentukan People’s Defence Forces (PDF) yang kini menentang junta.
Semasa lawatan ke wilayah Kayah berhampiran sempadan Thailand, penyelidik Amnesty menemu bual mangsa periuk api, petugas kesihatan yang merawat mereka dan beberapa pihak lainnya yang terlibat dalam operasi pembersihan, menurut pertubuhan itu.
Amnesty mendedahkan ia mempunyai ‘maklumat sahih’ menunjukkan pihak tentera menggunakan periuk api di sekurang-kurangnya 20 buah perkampungan, termasuk di laluan menuju ladang padi, menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan awam.
Amnesty juga berkata ia telah mendokumenkan beberapa contoh di mana tentera menanam periuk api di sekitar gereja.
“Pihak tentera telah menanam di halaman rumah penduduk, di laluan keluar rumah dan di luar tandas,” kata Amnesty.
“Sekurang-kurangnya satu kes yang didokumenkan, menunjukkan pihak tentera memasang perangkap di tangga sebuah rumah dengan bahan letupan diaktifkan menerusi tali.”
Beberapa buah kumpulan antijunta cuba membuang sebahagian kawasan yang ditanam periuk api, namun usaha mereka dilakukan “hanya dengan tangan dan kelengkapan asas dan tanpa latihan profesional,” tambahnya.
“Kami mengetahui melalui pengalaman pahit bahawa kematian dan kecederaan orang awam akan meningkat dari semasa ke semasa dan pencemaran yang berleluasa telah menghalang orang ramai untuk kembali ke kampung halaman dan ladang mereka,” kata Rawya Rageh, penasihat krisis kanan kumpulan itu. – AFP
