YANGON, 4 OGOS – Wartawan Jepun yang ditahan di Myanmar baru-baru ini telah didakwa kerana melanggar undang-undang imigresen dan menggalakkan penentangan terhadap tentera, kata junta memerintah hari ini.
Tentera Myanmar telah mengekang kebebasan media sejak kudeta tahun lalu, memberkas wartawan dan jurugambar serta menarik balik lesen penyiaran semasa negara itu dibelenggu kekacauan.
Toru Kubota yang ditahan semasa membuat liputan satu bantahan di Yangon minggu lalu ‘telah didakwa di bawah Seksyen 505 (a) dan di bawah undang-undang imigresen 13-1,’ kata junta dalam satu kenyataan.
Seksyen 505 (a) – jenayah undang-undang yang menggalakkan penentangan terhadap tentera, boleh dijatuhkan hukuman maksimum tiga bulan penjara – telah digunakan secara berleluasa dalam tindakan keras ke atas penentang.
Melanggar undang-undang imigresen 13-1 pula boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun.
Kubota, seorang penerbit filem, 26, ditahan berhampiran rapat antikerajaan di Yangon bersama dua warga Myanmar.
Selepas dakwaan difailkan, dia dipindahkan dari tahanan polis ke penjara Insein, Yangon, satu sumber keselamatan memberitahu AFP, meminta namanya dirahsiakan.
“Dia dalam keadaan baik dan pegawai kedutaan sudah melawatnya di stesen polis di mana dia ditahan.” – AFP
