
BANGKOK, 18 APRIL – Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan bahawa beliau telah menggesa ketua junta Myanmar supaya menghormati gencatan senjata pasca-gempa bumi dalam satu pertemuan tertutup di Bangkok, hari ini.
Pegawai-pegawai junta Myanmar sebelum ini dilarang menghadiri sidang kemuncak ASEAN yang dianggotai 10 negara, susulan kegagalan mereka melaksanakan pelan damai selepas rampasan kuasa tentera pada tahun 2021 yang mencetuskan perang saudara.
Bagaimanapun, Ketua Junta Min Aung Hlaing dilaporkan telah melakukan lawatan ke Bangkok pada Khamis bagi mengadakan pertemuan dengan Anwar di luar perbincangannya bersama pegawai-pegawai Thailand.
Tentera Myanmar sebelum ini mengisytiharkan gencatan senjata sehingga 22 April, selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 bulan lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 3,700 nyawa. Namun, pemantau konflik melaporkan pertempuran masih berlarutan, termasuk serangan udara yang dilancarkan secara berterusan oleh pihak junta.
“Saya beritahu beliau bahawa adalah penting untuk menghentikan pertempuran,” kata Anwar kepada wartawan di Bangkok. “Ia penting bagi membolehkan misi kemanusiaan dilaksanakan di seluruh Myanmar, tanpa mengira lokasi atau pendirian politik mereka.”
Menurut Anwar, ketua junta tersebut telah memberi jaminan ke atas perkara itu.
Namun, kenyataan rasmi junta Myanmar pada malam Khamis tidak menyebut mengenai gesaan Anwar untuk mencapai perdamaian, sebaliknya memaklumkan bahawa perbincangan mereka lebih tertumpu kepada “kerjasama dalam usaha pemulihan pasca bencana gempa bumi di Myanmar.”
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), gempa bumi pada 28 Mac lalu telah menyebabkan lebih 60,000 orang hidup di khemah sementara, manakala dua juta lagi kini berada dalam keadaan sangat memerlukan bantuan dan perlindungan.
Walaupun kerajaan tentera mengumumkan gencatan senjata bagi melancarkan misi bantuan, ia tetap memberi amaran kepada pihak lawan bahawa sebarang serangan akan dibalas. Malah, jurucakap junta minggu ini mendakwa kumpulan bersenjata telah melancarkan beberapa siri serangan di seluruh negara.
Pada hari yang sama, Anwar turut mengadakan perbincangan bersama seorang pemimpin kanan “Kerajaan Perpaduan Nasional” (NUG) Myanmar, Mahn Winn Khaing Thann – kerajaan bayangan yang menentang pemerintahan junta.
Junta sebelum ini mengumumkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya sekitar hujung tahun ini, namun NUG menggesa rakyat serta parti-parti politik agar memboikot sebarang pilihan raya yang dianjurkan oleh kerajaan tentera, yang telah memenjarakan pemimpin awam terakhir Myanmar, Aung San Suu Kyi.
Penganalisis berpendapat, pilihan raya yang dirancang itu sukar untuk dianggap sebagai proses demokrasi sebenar memandangkan negara tersebut kini berpecah antara kuasa tentera, ratusan kumpulan bersenjata etnik, dan pejuang anti-rampasan kuasa.
“Kita menyuarakan kebimbangan ASEAN,” kata Anwar. “Namun kita tidak mahu mendesak proses ini secara terburu-buru, kerana kita mahu capai kata sepakat… bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bebas dapat diadakan.” – AFP