YANGON, 31 JULAI – Junta Myanmar mengumumkan lanjutan darurat selama enam bulan hari ini, menandakan penangguhan kepada pilihan raya yang mereka janjikan akan diadakan pada Ogos.
Pemangku Presiden Myint Swe memberitahu mesyuarat Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara (NDSC) yang dikendalikan oleh junta bahawa ‘tempoh darurat negara akan dilanjutkan selama enam bulan lagi bermula esok.
Perlembagaan Myanmar yang dihasilkan oleh tentera pada 2008, yang junta nyatakan masih berkuat kuasa, memerlukan pihak berkuasa untuk mengadakan pilihan raya baharu dalam tempoh enam bulan selepas darurat negara dibatalkan.
Junta sebelum ini telah berjanji untuk mengadakan pilihan raya baharu menjelang Ogos tahun ini.
Ketua Tentera Darat, Min Aung Hlaing, menjelaskan kepada mesyuarat majlis bahawa peperangan dan serangan masih berlaku di kawasan Sagaing, Magway, Bago, Tanintharyi serta negeri Karen, Kayah dan Chin.
“Kita memerlukan masa untuk terus menjalankan tugas untuk persiapan sistematik kerana kita tidak sepatutnya mengadakan pilihan raya dalam keadaan terburu-buru,” katanya dalam mesyuarat itu.
Junta sebelum ini telah melanjutkan perintah darurat tahun ini, sehari selepas NDSC menyatakan keadaan ‘belum kembali kepada normal’.
Min Aung Hlaing berkata pada waktu itu bahawa tentera tidak ‘sepenuhnya mengawal’ lebih daripada sepertiga daerah perbandaran Myanmar. – AFP