YANGON, 20 OKT – Junta Myanmar hari ini memaklumkan pihaknya telah menyerbu salah satu pusat penipuan siber paling terkenal di negara itu dan merampas peranti internet satelit Starlink, selepas laporan penyiasatan AFP mendedahkan peningkatan mendadak penggunaan teknologi tersebut dalam industri penipuan bernilai berbilion dolar.
Pusat siber beroperasi seperti ‘kilang penipuan’ itu menggaji pekerja yang menipu warga asing melalui skim perniagaan dan percintaan palsu dan telah berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar yang tidak terkawal sejak pandemik COVID-19.
Tindakan bersepadu oleh pihak berkuasa Thailand, China dan Myanmar sejak Februari lalu telah membawa kepada pemulangan ribuan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan itu.
Pakar menjelaskan ada antara mereka yang terlibat secara sukarela, manakala sebahagian lagi dipaksa oleh sindiket jenayah terancang.
Namun, laporan penyiasatan AFP bulan ini mendedahkan pembinaan pesat di tapak pusat penipuan berkenaan, termasuk pemasangan peranti Starlink milik syarikat Elon Musk di atas bumbung bangunan.

Media rasmi, The Global New Light of Myanmar, melaporkan pihak tentera telah menjalankan operasi di KK Park berhampiran sempadan Myanmar-Thailand dan berjaya ‘merampas 30 set peranti dan aksesori Starlink’.
Jumlah itu bagaimanapun hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan peranti Starlink yang dikenal pasti oleh AFP melalui imej satelit dan fotografi dron. Malah, di atas bumbung satu bangunan sahaja di kawasan KK Park menunjukkan hampir 80 piring internet dipasang.
Perkhidmatan Starlink, yang tidak dilesenkan di Myanmar, pada awalnya tidak mencatatkan trafik yang cukup untuk disenaraikan sebagai penyedia internet negara itu sebelum tindakan keras besar-besaran pada Februari lalu.
Namun, sejak 3 Julai hingga 1 Oktober, Starlink dilaporkan menduduki tangga teratas penyedia internet di Myanmar setiap hari, menurut data daripada pendaftar internet serantau Asia, APNIC.
Jawatankuasa Ekonomi Bersama Kongres Amerika Syarikat memaklumkan AFP mereka telah memulakan siasatan terhadap penglibatan Starlink dengan pusat penipuan tersebut.
Walaupun jawatankuasa itu boleh memanggil Elon Musk untuk menghadiri perbicaraan, ia tidak mempunyai kuasa untuk memaksanya memberi keterangan. – AFP
