NAYPYIDAW, 27 MAC – Junta Myanmar akan mengumpulkan tentera mereka untuk satu pertunjukan kekuatan pada Hari Tentera hari ini, selepas setahun mengalami kekalahan besar dan memaksa warga untuk menyertai tentera bagi mengukuhkan barisan mereka.
Ribuan tentera akan berarak di hadapan ketua junta, Min Aung Hlaing di Naypyidaw, dengan tulisan yang tergantung di pintu masuk ke medan perarakan bertulis ‘Hanya apabila tentera kuat, negara akan kuat’.
Pasukan khas mengawal pintu utama ke ibu kota yang dibina khas itu, di mana perarakan tahunan semakin kecil setiap tahun dalam tempoh empat tahun perang saudara sejak tentera menggulingkan kerajaan awam Aung San Suu Kyi.
Junta telah kehilangan bandar utara penting, Lashio, termasuk komando tentera wilayah dan kawasan besar di negeri Rakhine barat sejak Hari Tentera tahun lalu. Mereka juga telah berusaha untuk mengambil lebih dari 50,000 orang secara paksa.
Perang saudara ini menyaksikan pasukan junta bertempur dengan pejuang gerila anti-kudeta serta kumpulan bersenjata etnik minoriti yang telah lama wujud. Lebih daripada 3.5 juta orang terpaksa meninggalkan rumah, separuh daripada populasi hidup dalam kemiskinan dan satu juta warga awam bakal berdepan pemotongan bantuan daripada Program Makanan Sedunia (WFP) bulan depan berikutan pemotongan belanjawan kemanusiaan oleh Presiden AS Donald Trump.
Pada masa yang sama, sekatan perdagangan telah mengasingkan Myanmar, menjadikannya semakin bergantung kepada China dan Rusia untuk sokongan ekonomi dan ketenteraan. – AFP
