Friday, February 21, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Junta Niger tutup ruang udara negara

    DAKAR, 7 OGOS – Junta Niger kelmarin mengumumkan bahawa ruang udara negara itu telah ditutup sehingga diberitahu kelak sebagai tindak balas terhadap kemungkinan campur tangan ketenteraan daripada Komuniti Ekonomi Negara-negara Afrika Barat (ECOWAS), lapor agensi Anadolu.

    “Negara asing sedang bersiap sedia menyerang negara kita dengan kerjasama ECOWAS,” kata jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Melindungi Negara, Kolonel Amadou Abdramane.

    Beliau berkata sebarang pelanggaran ruang udara akan berdepan tindak balas cepat dan kuat.

    Abdramane mendakwa bahawa ECOWAS telah mengerahkan pasukan di dua negara Afrika Tengah sebagai sebahagian daripada persiapan campur tangan ketenteraan dan menekankan bahawa mana-mana negara yang campur tangan akan dianggap sebagai rakan subahat.

    Beliau menyeru pemuda Niger untuk mempertahankan negara mereka.

    Tempoh masa tujuh hari yang diberikan oleh ECOWAS kepada junta tentera untuk membebaskan Presiden Mohamed Bazoum dan membenarkannya kembali ke pejabat telah tamat sebelum tengah malam waktu tempatan tadi.

    ECOWAS mengumumkan bahawa pihaknya mempertimbangkan semua pilihan, termasuk campur tangan ketenteraan, jika tuntutan itu tidak dipenuhi dalam tempoh masa ini.

    Kemungkinan campur tangan ketenteraan telah mendapat reaksi kerajaan ketenteraan lain di Afrika Barat. – Bernama

    Mohamed Toumba, salah seorang askar yang menggulingkan Presiden Nigeria Mohamed Bazoum, berucap kepada penyokong junta pemerintah Niger di Niamey, Niger pada 6 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda