BANGKOK, 21 Feb – Kumpulan-kumpulan hak asasi kemanusiaan hari ini menggesa tentera Thailand supaya menggugurkan dakwaan fitnah ke atas tiga orang aktivis berhubung laporan penting tentang penyeksaan dalam selatan yang dilanda konflik, dengan menyelar pendakwaan itu sebagai usaha untuk mendiamkan para pengkritik.
Seorang pendakwa raya sedang menimbangkan sama ada untuk meneruskan dengan kes berkontroversi ke atas Pompen Khongkachonkiet – pengerusi Amnesty International Thailand – Anchana Heemmina dan Somchai Homlaor.
Ketiga-tiga mereka itu mungkin berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun kerana memfitnah dan dakwaan berasingan telah difailkan kerana menyiarkan laporan itu dalam talian.
Kes itu sedang diikuti secara dekat di Thailand yang diperintah junta yang mana pihak berkuasa kerap menggunakan undang-undang fitnah untuk menghentikan laporan tentang dakwaan penganiayaan atau rasuah.

Laporan 2016, berdasarkan temu bual dengan 54 bekas tahanan menyenaraikan banyak taktik penyeksaan yang dikatakan digunakan oleh tentera dan polis di seluruh wilayah timur jauh yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam.
Lebih 6,700 orang – kebanyakannya orang awam telah terkorban dalam pemberontakan hampir 13 tahun oleh penduduk tempatan Islam Melayu ke atas kerajaan Thailand yang memerintah rantau itu dengan undang-undang darurat.
Pemukulan, ancaman dengan senjata, kehilangan deria dan lemas separa kesemuanya biasa ketika penahanan tersangka oleh pihak berkuasa, menurut laporan itu. – AFP