Monday, December 16, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juraian tahi bintang Taurid hiasi malam hingga Disember

    WASHINGTON, 4 NOV – Dua pancuran meteor atau tahi bintang kini menerangi langit malam dan dijangka mencapai kemuncaknya selang seminggu. Pancuran Taurid Selatan akan mencapai kemuncak awal pagi esok, diikuti Taurid Utara pada 12 November.

    Meskipun kedua-dua pancuran itu hanya menghasilkan sekitar lima meteor setiap jam dalam pandangan ideal, meteornya sering terlihat terang dan jelas, kata pengurus planetarium di Muzium Bell, Universiti Minnesota, Sally Brummel.

    “Keistimewaan pancuran ini cenderung menghasilkan meteor yang lebih terang dan bertahan lebih lama berbanding pancuran lain, meskipun jumlahnya tidak banyak pada satu masa,” katanya.

    Pancuran Taurid Selatan akan mencapai kemuncaknya pada malam dengan bulan sabit yang hanya 11 peratus penuh, manakala pancuran Taurid Utara mungkin sedikit terganggu oleh cahaya bulan yang akan berada pada kadar 79 peratus penuh.

    Kedua-dua pancuran itu boleh dilihat sehingga Disember. Pelbagai pancuran meteor berlaku setiap tahun dan tidak memerlukan peralatan khas untuk menyaksikannya.

    Kebanyakan pancuran meteor berpunca daripada serpihan komet, dan kedua-dua pancuran tersebut berasal daripada sumber yang sama iaitu serpihan komet Encke.

    Apabila batu angkasa memasuki atmosfera bumi, rintangan udara menjadikan batuan itu panas sehingga menyebabkan udara di sekelilingnya bercahaya, lalu meninggalkan jejak api yang dikenali sebagai ‘bintang jatuh’.

    Kawasan udara bercahaya di sekeliling batu angkasa yang bergerak laju, sama ada bersaiz zarah habuk atau lebih besar, mungkin dapat dilihat di langit malam.

    Kedua-dua pancuran meteor itu dinamakan hampir sama kerana, apabila dilihat di langit malam, ia kelihatan berasal dari titik berbeza dalam buruj Taurus.

    Pancuran meteor biasanya paling jelas dilihat antara tengah malam hingga sebelum subuh. – AP

    Imej tahun 2014 ini yang disediakan oleh NASA menunjukkan bola api Taurid yang dirakam di stesen rangkaian bola api seluruh langit NASA di Tullahoma, Tennessee. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda