DORTMUND, 16 APRIL – Penyerang Borussia Dortmund, Serhou Guirassy berkata nasib pasukannya telah tertulis akibat prestasi buruk pada perlawanan pertama di Barcelona minggu lalu, walaupun tampil dengan persembahan lebih baik apabila menang 3-1 di laman sendiri kelmarin.
Mengejar dari ketinggalan 4-0 dari perlawanan pertama, Guirassy memberi menyalakan sedikit harapan buat Dortmund dengan sepakan penalti awal dan gol kedua sejurus selepas separuh masa.
Tetapi gol sendiri Dortmund berjaya mematikan kedudukan dan berpihak kepada Barcelona walaupun Guirassy menyempurnakan hatriknya ketika berbaki 14 minit.
“Mereka adalah pasukan yang hebat, kami juga pasukan yang hebat, kami menunjukkannya hari ini. Sungguh malang akibat jurang yang terlalu besar pada perlawanan pertama,” kata Guirassy kepada Amazon Prime.
Jumlah jaringan Guirassy meningkat ke 13 gol dalam Liga Juara-Juara musim ini, lebih banyak daripada pemain lain dalam pertandingan itu dan menjadi rekod kelab.
“Ia bagus untuk menjadi penjaring terbanyak dalam Liga Juara-Juara dengan terdapat beberapa pemain lain yang hebat. Menjadi penjaring terbanyak juga bermakna saya seorang penjaring yang hebat, tetapi tanpa pasukan, saya tidak boleh melakukannya sendirian.”
Pemain pertahanan Dortmund, Niklas Suele, yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Bayern Munich pada 2020, turut bersetuju bila mengatakan, “bahawa kami merosakkannya pada perlawanan pertama, prestasi terlalu teruk di Barcelona.”
Pasukan Jerman juga hampir menjadikan kedudukan 4-1 pada malam itu menerusi Julian Brandt ketika berbaki 11 minit, tetapi golnya dibatalkan kerana ofsaid dan Barcelona akhirnya mara dengan agregat 5-3.
“Saya fikir ia akan menjadi 10 minit terakhir yang menarik. Sehingga saat akhir kami bermain untuk menunjukkan kami percaya supaya stadium juga akan percaya,” kata pemain tengah Dortmund, Pascal Gross.
“Kami terkeluar kerana perlawanan pahit di Barcelona, tetapi awda boleh lihat kami cukup bagus untuk bersaing dengan mereka.” – AFP
