Jurgen Klopp tidak sabar EPL kembali

LONDON, 3 JUN – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak sabar untuk Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali setelah digantung selama tiga bulan kerana wabak COVID-19 dan berjanji akan meraikan dengan gelaran EPL dengan penuh gaya apabila ia selesai dilakukan.

Liverpool hanya memerlukan dua kemenangan sahaja lagi bagi meraih gelaran liga pertama mereka selepas 30 tahun.

The Reds unggul 25 mata di puncak liga berada di atas Manchester City ketika perlawanan dihentikan pada bulan Mac lalu.

Pasukan Klopp bahkan dapat merangkul gelaran lebih awal dengan kemenangan dalam perlawanan pertama mereka jika City tewas kepada Arsenal dalam satu daripada dua perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 17 Jun ini, sebelum pusingan pertama perlawanan akhir minggu berikutnya.

“Saya sangat merindukannya,” kata Klopp.

“Saya tahu ia bukan perkara yang paling penting dalam hidup tetapi ia adalah semangat saya. Saya harap orang semua menantikannya.”

Setelah sekian lama menunggu untuk memenangi trofi EPL, Liverpool berdepan melakukannya di depan tempat stadium yang kosong dengan berbaki 92 perlawanan liga yang akan dimainkan di sebalik pintu tertutup.

Setahun yang lalu hingga hari ini, puluhan ribu peminat memenuhi jalan-jalan di sekitar Liverpool untuk meraikan kemenangan Piala Liga Juara-Juara keenam mereka.

Klopp menegaskan akan ada perarakan untuk meraikan gelaran itu, walaupun sudah beberapa bulan selepas liga dimenangi. – AFP

Reaksi Jurgen Klopp ketika menyaksikan perlawanan pasukannya pada perlawanan yang lalu. Klopp tidak sabar EPL kembali setelah digantung selama tiga bulan kerana wabak COVID-19 dan berjanji akan meraikan trofi EPL dengan penuh gaya. -AFP