Jurkarnain juarai pertandingan Beyblade dalam talian

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Awang Jurkarnain bin Haji Hussin dari pasukan Santai Aja Bladers berjaya menewaskan 53 peserta lain untuk muncul juara dalam Pertandingan Beyblade Online Battle of 60 Seconds anjuran DBos Beys Beyblade Brunei Darussalam.

Selaku juara, beliau memenangi hadiah Handy Vacuum, Cross Collision Battle Set, B-00 Xtreme Driver, slot percuma, sijil dan hamper.

Manakala itu, tempat kedua disandang oleh Awang Junaidi bin Muhammad Yussof dari Pasukan Jakusha Bladers dan diikuti oleh Dayang Paridah binti Ibrahim dari Pasukan Underground Beys yang berkongsi catatan masa dengan Awang Masri bin Haji Lamit dari Pasukan Ghostbeys yang merangkul tempat keempat.

Sementara itu, empat peserta lain memenangi hadiah sagu hati.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, para peserta pertandingan dalam talian berkenaan adalah daripada pasukan-pasukan beyblade di negara ini antaranya pasukan Undergroundbey (UG), Jakusha Bladers (JB), Ghostbeys (GB), dan Santai Aja Bladerz (SA).

Kenyataan menambah, pertandingan antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta mengumpul kiraan mata terbanyak bagi merebut gelaran King of DBos Beys Beyblade 2021 yang akan diumumkan pada Januari 2022 di mana pemenang akan mendapat hadiah utama berupa peti sejuk dan sijil.

Bertemakan Teranah Tah di Rumah, pertandingan merupakan salah satu inisiatif untuk mendokong usaha kerajaan menggalakkan orang ramai khususnya peminat permainan beyblade dari perbagai peringkat umur untuk tidak merasa bosan atau tertekan memandangkan negara sedang dilanda gelombang kedua penularan COVID 19.

Juara kejohanan Awang Jurkarnain bersama beyblade yang membawa tuah kepada beliau. – Gambar serahan DBos Beys Beyblade Brunei Darussalam