Oleh Salawati Haji Yahya
Ketangkasan dan kecekapan jurubahasa isyarat dalam menyampaikan berita semasa khususnya buat para penonton yang mengalami masalah pendengaran memang tidak disangkal lagi.
Jurubahasa isyarat menjadi pengantara kepada golongan cacat pendengaran untuk mereka memahami inti pati berita seperti yang disiarkan di kaca televisyen.
Keistimewaan bahasa isyarat ini memiliki struktur tatabahasa dan ayatnya tersendiri serta berkomunikasi dengan ekspresi atau mimik muka dan pergerakan badan. Melihat cabaran dan usaha jurubahasa isyarat untuk menyampaikan mesej kepada penonton, salah seorang jurubahasa isyarat, Dustan Chua Siew Fah berkongsi perjalanan beliau sebagai penyampai jurubahasa isyarat berita Radio Televisyen Brunei (RTB).
Beliau yang mula mendalami bahasa isyarat ini sejak tahun 2011 di Singapura di mana beliau melibatkan diri dengan komuniti pekak di sana telah membuka hati dan menarik minat Dustan Chua Siew Fah untuk memahami dan membantu komuniti pekak. Setelah kembali ke tanah air pada tahun 2015, beliau berpeluang mempelajari lebih mendalam bahasa tersebut di bawah pengawasan Dr Hajah Norbaya sehingga hari ini.
Cabaran penggunaan bahasa isyarat
Dengan pengawasan Dr Hajah Norbaya bersama orang kurang pendengaran (OKP), mereka berusaha untuk mengajar orang pekak untuk memahami penggunaan bahasa isyarat. Walaupun golongan OKP mempunyai cara berkomunikasi yang tersendiri tetapi semasa berkomunikasi di peringkat antarabangsa, ia kelihatan sangat mencabar dan membuatkan mereka ingin membantu golongan OKP berkenaan.
Menurut Dustan Chua Siew Fah, cabaran semasa membuat penyampaian kata untuk menafsirkan perbendaharaan kata tertentu, beliau sering kali merasakan adakah penyampaian yang dilakukannya dapat difahami oleh golongan OKP. Ada masanya beliau juga sering kali membuat penyampaian secara spontan di mana beliau harus berfikir dengan cepat menggunakan ekspresi wajah dan pergerakan badan untuk mengeluarkan kata-kata.
“Saya mahu masyarakat OKP memahami cerita dan bukannya hanya membaca pergerakan saya sahaja.
“Tugas yang paling mencabar ketika skrip diberikan kepada pembaca berita lima minit sebelum siaran, yang saya sama sekali tidak mempunyai idea mengenai kisahnya,” jelas beliau semasa berdepan cabaran mengalas tugas sebagai penyampai bahasa isyarat berita agar maklumat sampai kepada golongan OKP.
Kongsi Dustan Chua Siew Fah, beliau perlu mendengar apa yang dibaca oleh pembaca berita terutama dengan semua istilah menarik dan menafsirkannya kepada gerak isyarat yang mudah difahami oleh penonton golongan OKP. Kenangan pahit dan manis ini setentunya sebagai pemangkin kepada beliau untuk terus meningkatkan dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
Melalui pengalaman sebagai penyampai bahasa isyarat ini, sering membantu Dustan Chua Siew Fah untuk mempelajari kata-kata secara lebih mendalam dan selalu tampil dengan gerak tangan yang mampu membuatkan berita atau cerita yang disampaikan lebih jelas dan menarik.
Selain dapat mengenali lebih ramai kenalan dengan kru-kru RTB, kehadiran mereka memberikan pengalaman dan pengajaran yang bermanfaat kepada beliau dan lima lagi penyampaian bahasa isyarat berita yang lain.
Kongsi Dustan Chua Siew Fah lagi, setentunya semua penyampai berita juga pernah mengalami pelbagai pengalaman memalukan seperti yang di alami oleh beliau sendiri semasa separuh signing beliau mengalami hidung gatal.
“Perasaan hidung gatal itu sangat tidak tertahankan sehingga saya terpaksa mencari cara semasa signing dengan secepatnya hanya untuk menggosok hidung sebagai bahagian signing,” jelasnya.
Sasaran mempelajari bahasa isyarat
Bila ada masa terluang, beliau juga aktif membantu Dr Hajah Norbaya dalam mengajar kelas bahasa isyarat. Beliau tidak melihat dan terfikir semasa mempelajari sesuatu yang baharu itu sebagai mengisi masa lapang tapi ia adalah untuk meningkatkan dan memperkayakan hidup dengan ilmu.
Beliau turut percaya kepada semua perkara yang telah dipelajari itu, baik bermain piano dan lain-lain, pasti ada sesuatu yang baik di dalamnya bukan saja untuk diri sendiri tapi juga kepada orang lain.
Menurutnya sangat penting untuk bertanya kepada diri sendiri tentang objektif semasa belajar sesuatu yang baharu. Beliau turut memberi dorongan kepada belia yang ingin melibatkan diri dalam dunia bahasa isyarat untuk tidak pernah menyerah dalam mempelajari sesuatu yang baharu dalam hidup.