Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurubahasa permudah komunikasi pekerja

    HWANGE, ZIMBABWE – Bercakap melalui walkie-talkie, Panashe Shayawabaya, jurubahasa bahasa Cina menyampaikan arahan kepada pekerja tempatan daripada penyelia Cina di tapak perlombongan arang batu.

    Di dalam lombong terbuka berhampiran, bunyi bising dari jentera berat dan trak pengangkut bergema di seluruh lombong apabila mesin mengeluarkan dan mengangkut ketulan batu dari bumi untuk mengeluarkan arang batu yang tersembunyi di bawahnya.

    Shayawabaya merupakan salah seorang daripada segelintir rakyat Zimbabwe yang pandai berbahasa Cina memainkan peranan penting dalam memudahkan persefahaman bersama Zimbabwe-China melalui kemahiran bahasa Cina mereka.

    “Saya menghabiskan kira-kira lapan tahun di China, dan sepanjang tempoh saya di China, saya banyak mempelajari budaya Cina, sejarah Cina, dan dari segi makanan Cina yang disukai dan tidak sukai,” kata Shayawabaya kepada Xinhua.

    Zimbabwe menyaksikan kebanjiran pelabur dari China, di mana halangan bahasa dan perbezaan budaya antara kedua-dua buah negara telah menjadikan penduduk tempatan yang memahami kedua-dua pihak secara linguistik dan budaya sangat diperlukan.

    Shingirirai (tengah) menterjemahkan apa yang dikatakan penyelia Cina (kiri) kepada seorang pekerja. – Xinhua

    Beberapa buah sekolah di seluruh negara juga telah mula menawarkan pelajaran bahasa Cina untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk bahasa tersebut.

    Shayawabaya, yang merupakan jurubahasa di Zhong Jian Investments, salah sebuah syarikat perlombongan arang batu terbesar di Hwange, Wilayah Utara Matabeleland, berkata bahasa adalah cara terpenting untuk menghubungkan kedua-dua pihak.

    “Bahasa dan budaya agak berbeza di Zimbabwe dan China. Jadi sepanjang berada di China, saya banyak mempelajari dari segi membuat rundingan, dan cara bercakap serta menghormati budaya lain,” tambahnya.

    George Chiremba, seorang lagi jurubahasa bahasa Cina yang tinggal di China selama enam tahun, berkata jurubahasa memainkan peranan besar dalam memudahkan persefahaman antara China dan Zimbabwe.

    “Awalnya peranan kami adalah untuk mencuba dan merapatkan jurang dalam komunikasi antara pelabur China dan tenaga kerja Zimbabwe. Tetapi ia juga merangkumi pemahaman dan perbezaan kedua-dua budaya, bagi memastikan tidak berlaku salah faham semasa berkomunikasi,” katanya.

    Memandangkan bahasa dan budaya mempunyai hubungan yang kompleks, terjemahan itu melangkaui tafsiran vokal, kata Chiremba.

    “Jadi peranan itu merangkumi lebih daripada sekadar boleh bertutur dalam bahasa itu, ia juga melibatkan pemahaman budaya masyarakat Zimbabwe dan budaya masyarakat Cina,” tambahnya.

    Budaya dan bahasa saling berkait, oleh itu pentingnya orang yang memahami kedua-dua budaya, kata Chiremba.

    “Perbezaan antara budaya memainkan peranan utama dalam berkomunikasi. Jika awda memahami budaya dan nada, dan bagaimana mesej itu dikatakan, awda boleh menterjemahkan dengan lebih baik kepada orang berbeza budaya,” kata Chiremba.

    Shayawabaya berkata pembelajaran bahasa melangkaui bilik darjah, ia juga melibatkan pembelajaran tingkah laku masyarakat dan adat resamnya.

    Shingirirai Alufasi, penterjemah di Zimbabwe Zhong Xing Electric Energy di Hwange, berkata tanpa jurubahasa, kerjasama antara pelabur China dan penduduk tempatan akan menjadi sukar.

    “Menjadi jurubahasa Cina adalah satu tugas yang sangat berguna. Kenapa? Kerana di Zimbabwe kebanyakan orang tidak memahami bahasa Cina, dan ramai orang Cina tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris, jadi bagi seseorang yang menjadi jurubahasa, ia sangat penting berada di kawasan seperti ini,” katanya.

    Apabila jejak ekonomi global China berkembang, permintaan untuk perkhidmatan penterjemah bahasa Cina semakin berkembang. Di Zimbabwe, China kekal sebagai pelabur asing terbesar, dengan pelaburan dari negara Asia merentas sektor termasuk pertanian, perlombongan dan tenaga.

    Perdagangan antara kedua-dua negara mencecah hampir AS$1.9 bilion pada 2021, melonjak 35 peratus daripada angka 2020, menurut statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan Zimbabwe. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda