Monday, November 25, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurugaya tudung sebagai kerjaya

    KUALA LUMPUR – Bermula dengan memuat naik video tutorial penggayaan tudung di media sosial, seorang suri rumah tidak menyangka aktiviti sekadar suka-suka itu membuka jalan baginya membina kerjaya sebagai jurugaya tudung, sekali gus menjana pendapatan lumayan.

    Mengimbau kembali awal pembabitan pada hujung 2022, Nursalihah Ahmad Azman Saha, 34, berkata dia mula menerima permintaan untuk mendandan pelanggan apabila pengikut di media sosial yakin dengan bakat dan kemahirannya yang dikongsi di platform tersebut.

    “Orang mula bertanya dan meminta sekiranya saya berminat mendandan orang lain, jadi saya fikir tidak salah untuk mencuba dan menggunakan bakat serta kemahiran yang ada.”

    “Dalam percubaan pertama, saya tidak terus mendandan pengantin sebaliknya ibu kepada pengantin, kemudian saya terlibat menggayakan model untuk sesi penggambaran beberapa jenama fesyen dan kosmetik bagi mengasah lagi kemahiran,” katanya kepada Bernama.

    Ibu kepada sepasang cahaya mata itu kini menumpukan kepada perkhidmatan menggayakan pengantin dengan harga antara RM500 ke RM700 dan berpendapat setiap penggaya hijab perlu sentiasa peka terhadap trend terkini termasuk dari luar negara, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mempunyai cita rasa berbeza.

    “Pelbagai gaya dan lilitan menggunakan selendang dan bawal menjadi pilihan, dan fesyen tudung Turkiye antara yang mendapat permintaan paling tinggi, namun saya perlu sentiasa bersedia sekiranya ada permintaan gaya yang tidak pernah dibuat,” katanya yang juga menerima permintaan sehingga ke Singapura dan Brunei namun belum berpeluang dipenuhi kerana kekangan masa.”

    Lulusan sijil seni bina dari Politeknik Ungku Omar Ipoh itu mahu memperkenalkan lebih banyak fesyen tudung pengantin pada masa akan datang menggunakan pelbagai jenis fabrik dan tudung. – Bernama

    Gambar Bernama
    Nursalihah teliti ketika menyiapkan gaya tudung pengantin. – Bernama
    Gambar Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda