Sunday, December 15, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juruhebah buta kendali stesen radio

    GAZA – Sumaya al-Khattab, dari bandar Dir Al Balah di tengah Semenanjung Gaza, mengalu-alu pendengarnya dalam suara beliau yang sedap dan lunak, memberikan mereka nasihat tentang cara-cara menangani masalah harian yang membelenggu mereka.

    Al-Khattab, 32, bekerja sebagai juruhebah di stesen radio Shams. Stesen radio itu, dibuka beberapa bulan lalu, dianggap sebagai saluran berita pertama seumpama itu, yang menggaji orang dengan masalah penglihatan.

    Menggunakan program hariannya sebagai satu platform, al-Khattab memberikan nasihat mengenai cara-cara mengatasi kesukaran di enklaf kawasan pantai itu.

    Namun, pekerjaan tersebut bukan senang untuk al-Khattab. Untuk menyediakan jadual tugasannya, juruhebah perlu terlebih dahulu menaip siaran menggunakan aplikasi khas dan seterusnya memindahnya kepada peranti bacaan Braille, yang membantunya menyiar topik.

    Bagaimanapun, kesukaran berkenaan tidak menjejasnya. “Ia merupakan peluang besar bagi saya untuk menjadi juruhebah terkenal, lebih-lebih lagi saya seorang yang hilang upaya,” kata beliau dengan gembira.

    Sumaya al-Khattab, wanita Palestin yang cacat penglihatan, bercakap kepada pendengarnya dalam stesen radio Shams yang menggaji orang dengan masalah penglihatan di Dir Al Balah, tengah Semenanjung Gaza pada 22 Januari 2020. – Xinhua

    Beliau menambah orang sepertinya sebelum ini, yang disisih oleh masyarakat, mempunyai peluang sifar di Gaza.

    Sementara situasi tersebut telah berubah, stesen radio Shams, yang bercita-cita membantu orang hilang upaya, juga menghadapi pelbagai cabaran, paling utama adalah pembiayaan.

    “Kami merupakan kumpulan yang terdiri daripada lapan orang yang bekerja siang dan malam untuk memastikan kami memberikan pendengar berita yang ingin mereka dengar. Namun kami semua adalah anggota sukarelawan dan tanpa wang, kami tidak mampu bertahan lama,” kata Amra l-Hajj, penyelaras stesen.

    Meskipun menghadapi kesukaran, stesen itu menerima maklum balas positif dan menetapkan matlamat lebih tinggi. “Kami mahu menubuhkan saluran satelit untuk orang kurang upaya supaya orang di seluruh dunia yang menghadapi masalah yang sama boleh mendengar kepada siaran kami,” jelas al-Hajj.

    Menurut statistik rasmi, terdapat lebih daripada 47,000 orang hilang upaya di Gaza yang membentuk lebih 2.5 peratus daripada jumlah penduduk semenanjung.

    Al-Hajj meluahkan harapan untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang yang hilang upaya.

    Israel telah mengenakan sekatan ketat ke atas Semenanjung Gaza sejak tahun 2007, apabila gerakan Islam Hamas merampas kawalan ke atas enklaf pantai daripada Pihak Berkuasa Palestin yang dikuasai oleh Fatah.

    Sejak itu, situasi tersebut telah pun merosot. Belia di Semenanjung Gaza mengalami kadar pengangguran yang tinggi.

    Biro Statistik Palestin menyiarkan laporan terbaharu menunjukkan kadar pengangguran di Gaza telah mencecah 52 peratus pada tahun 2018, berbanding dengan 44 peratus pada 2017.

    Sementara itu, al-Khattab berkata beliau dan rakan sekerjanya di stesen radio sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi teladan kepada orang yang hilang upaya.

    “Kami harus hidup sebagai orang yang tabah dan berkeyakinan diri,” tambah beliau sambil tersenyum. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda