Jurukamera Palestin dokumentasi keindahan dunia laut Gaza

GAZA – Mohammed Asaad, seorang jurukamera Palestin dari enklaf pantai yang disekat, menyelam di Mediterranean luar pantai Gaza membawa bersama kameranya untuk mendokumentasikan keindahan dan kedalamannya.

Pada masa lalu, lelaki berusia 37 tahun itu pernah membuat liputan mengenai perkembangan politik di Semenanjung Gaza, sama seperti banyak wartawan lain di kawasan tersebut.

Meliputi segala-galanya dari ketegangan antara Israel dan Hamas yang menguasai Semenanjung, serta peristiwa seperti tunjuk perasaan mingguan yang dikenali sebagai ‘Great March of Return’ yang dilancarkan sejak 2018, dia mengatakan bahawa ia memberi kesan buruk terhadap kesihatan psikologinya.

Bertekad untuk mengatasi ketakutannya dan untuk melupakan gambar serta video yang diambilnya, Asaad akhirnya memutuskan untuk melakukan perubahan dan mulai mencari cerita dari sudut positif.

Masalah yang dihadapinya adalah dia tidak menemukannya di semenanjung yang mengalami kemiskinan dan kehancuran.

Mohammed Asaad, ketika menyelam di Mediterranean luar pantai Gaza membawa bersama kameranya untuk mendokumentasikan keindahan dan kedalamannya. – Xinhua

“Oleh itu, saya memutuskan untuk mencari tenaga positif dalam kisah-kisah sukar yang saya lalui,” katanya, sambil menambah bahawa dia akhirnya menemui apa yang dicari ketika dia menghasilkan cerita tentang ‘spearfishing in Gaza’.

“Satu-satunya perkara yang saya mahukan adalah memusatkan perhatian orang ramai mengenai bagaimana rakyat Palestin dapat menangani situasi mereka yang tidak stabil dan menjaga keluarga mereka tetap bertahan, walaupun ada sekatan Israel,” jelasnya.

Untuk mencapainya, dia meninggalkan bahagian timur semenanjung dan bergerak ke bahagian barat, di sebelah laut Gaza, untuk mencari ketenangan.

Tetapi ada halangan lain. Pada waktu itu, Israel menegah nelayan Gaza memancing sejauh tiga batu nautika sebagai alat tekanan kepada rakyat Palestin untuk menghentikan tunjuk perasaan mingguan mereka.

Namun, beberapa nelayan menggunakan kaedah memancing ikan primitif untuk mencabar larangan laut Israel yang dikenakan ke atas mereka.

“Ini adalah kisah hebat yang ingin saya fokuskan, tetapi saya tidak mempunyai pengalaman menyelam,” kata Asaad, sambil menambah bahawa dia mula belajar kemahiran menyelam dari nelayan amatur.

Ia seperti pengembaraan. Pada mulanya, dia merasa takut kerana dia menyelam bersama tiga nelayan lain dengan menggunakan alat-alat sederhana. Tetapi seiring berjalannya waktu, kebimbangannya semakin pudar dan dia dapat lebih menumpukan perhatian pada keindahan dunia laut.

“Ada banyak kawanan ikan, yang kelihatan seperti suku yang tinggal bersama kami,” jelasnya, sambil menambah bahawa dia ingin tinggal lebih lama di bawah air untuk mengetahui kedalaman itu lebih jauh.

Sejak itu, dia memutuskan untuk mendokumentasikan dunia bawah laut di Gaza untuk membiarkan rakyat Palestin, dan juga orang lain di seluruh dunia, melihat keindahan wilayah tersebut.

Untuk meneruskan semangatnya, pemuda itu telah mempelajari kaedah menombak bawah air melalui video dalam talian. Di samping itu, dia menghubungi profesional yang mengajarnya teknik dan kaedah yang diperlukan.

Jurukamera itu mengikuti ramalan cuaca setiap hari, memerhatikan gelombang laut, untuk memilih hari yang sesuai untuk penggambarannya.

Namun, Asaad menghadapi banyak kesulitan, termasuk pencemaran air dan peralatan penggambaran dan penyelaman terhad yang hanya memungkinkannya mencapai kedalaman hingga enam meter di bawah air. – Xinhua