Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurulatih Boca Juniors meninggal dunia pada usia 69 tahun

    BUENOS AIRES, 9 OKT – Jurulatih kelab bola sepak Argentina, Boca Juniors, Miguel Angel Russo, telah meninggal dunia pada usia 69 tahun, menurut pengumuman daripada Persatuan Bola Sepak Argentina, kelmarin.

    Kesihatan Russo dilaporkan merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

    Perlawanan terakhir Boca Juniors yang dihadirinya ialah pada 21 September, ketika pasukannya seri 2-2 menentang Central Cordoba dalam aksi liga di laman sendiri.

    Boca Juniors tidak pernah mendedahkan butiran mengenai keadaan kesihatannya, namun media Argentina melaporkan jurulatih itu, yang didiagnosis menghidap kanser prostat pada 2017, telah mengalami jangkitan pada saluran kencingnya.

    Dalam satu kenyataan, Boca Juniors meluahkan ‘kesedihan yang mendalam’ atas pemergian Russo. Dalam ketiadaannya, penolong jurulatihnya, Claudio Ubeda, telah mengambil alih tugas untuk mengurus kelab tersebut.

    Russo telah menghabiskan keseluruhan kariernya sebagai pemain di Estudiantes dari tahun 1975 hingga 1988, menjadi sebahagian daripada barisan tengah paling diingati dalam bola sepak Argentina bersama Alejandro Sabella, Marcelo Trobbiani dan Jose Daniel ‘Bocha’ Ponce.

    Dia pernah dipanggil menyertai pasukan kebangsaan tetapi tidak terpilih ke Piala Dunia 1986, di mana Diego Maradona terkenal sebagai kapten yang membawa Argentina menjulang kejuaraan.

    Pada 2017, dia pernah mengetuai kelab Colombia, Millonarios sehingga memenangi kejuaraan hanya sehari selepas menjalani rawatan kemoterapi untuk kanser, yang memberikannya penghargaan kekal daripada peminat di Bogota.

    Pada bulan Jun, beliau bersetuju untuk kembali melatih Boca Juniors buat kali ketiga, empat tahun selepas dipecat hanya selepas enam perlawanan musim baharu. – AFP

    Miguel Angel Russo semasa menghadiri perlawanan bola sepak di Stadium Hard Rock, Miami pada 16 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda