Thursday, May 1, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurulatih DPMM puji disiplin pasukan

    Oleh Fadhil Yunus – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Ketua jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister memuji semangat juang tinggi anak-anak buahnya atas permainan tersusun dan disiplin yang dipamerkan selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Geylang International FC dalam Liga Perdana Singapura di Our Tampines Hub, Singapura, semalam.

    Dalam temu bual selepas perlawanan, McAllister berkata, “Tiga perlawanan terakhir sangat cemerlang, tersusun rapi, berdisiplin dan keputusan perlawanan kebelakangan ini memberangsangkan.

    “Saya amat gembira dengan persembahan pasukan. Saya rasa para pemain bermain dengan cemerlang pada separuh masa pertama.”

    Beliau menambah, “Saya rasa kami berjaya mengawal permainan semasa menguasai bola seperti yang kami bincangkan sepanjang minggu dan kami juga mengawal permainan ketika tanpa bola.”

    Aksi skuad DPMM FC lebih mengagumkan kerana bukan sahaja lawan mereka kini menduduki tangga ketiga liga, malah merupakan pasukan kedua terbanyak menjaringkan gol dalam liga – hanya dua gol di belakang pendahulu, Lion City Sailors dengan 88 gol.

    Aksi pemain DPMM FC dan Geylang International FC bersaing untuk mendapatkan bola pada perlawanan bola sepak di Our Tampines Hub, Singapura. – GAMBAR IHSAN LIGA PERDANA SINGAPURA

    “Kami berjaya menyekat pasukan yang banyak menjaringkan gol. Saya rasa mereka sudah menjaringkan sekitar 70 atau 80 gol,” katanya.

    Ketua jurulatih itu turut menekankan kepentingan mengawal penguasaan bola sepanjang perlawanan, walaupun kedudukan mereka dalam carta sembilan pasukan itu tidak mencerminkan aksi sebenar.

    “Kami cuba mendapatkan tanpa bolos malam ini, tetapi kami juga cuba menguasai bola dengan lebih baik dan saya rasa kami berjaya melakukannya terutamanya pada separuh masa pertama.

    “Pada separuh masa kedua, kami tahu mereka akan cuba menyerang, tetapi apabila kami berjaya menjaringkan gol ketiga, saya rasa para pemain amat mengagumkan.

    “Setiap pemain bekerja keras tanpa henti. Semua pemain memberikan segalanya.”

    Beliau juga memuji peranan pemain gantian yang memberikan impak ketara, termasuk pergerakan Hanif Farhan Azman yang menghasilkan gol ketiga pasukan.

    Jurulatih dari Scotland itu mengakhiri temu bual dengan berkata, “Para pemain bertahan dengan baik dan saya amat gembira dengan tiga mata yang diraih.”

    Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Davis Ikaunieks berkata, “Saya rasa setiap pemain bermain dengan luar biasa dan kemenangan ini hasil usaha berpasukan yang sebenar.”

    Pemain Latvia itu meneruskan rentak cemerlangnya apabila menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan berturut-turut, menjadikannya enam gol dalam tujuh perlawanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda