Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurulatih Flandy tinggalkan BAM

    KUALA LUMPUR, 28 MAC – Seorang lagi jurulatih, iaitu Flandy Limpele, akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), setelah memutuskan untuk tidak melanjutkan kontraknya dengan persatuan itu selepas 1 April ini.

    Menurut BAM dalam kenyataan hari ini, usaha telah dibuat untuk menawarkan syarat baharu kepada jurulatih beregu lelaki itu, namun warga Indonesia berusia 48 tahun tersebut mahu memulakan perjalanan kerjaya yang baharu.

    BAM menzahirkan penghargaan ikhlas kepada Flandy atas dedikasi dan komitmennya selain mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau. Sementara itu, Flandy bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berkhidmat selama dua tahun dengan badan induk badminton negara itu.

    “Selepas mempertimbangkan dan berbincang dengan teliti bersama pengarah kejurulatihan beregu Rexy Mainaky, saya berpendapat ini adalah masa yang tepat untuk saya mengundur diri,” katanya.

    Rexy, yang berterima kasih kepada Flandy atas kerja keras dan sikap profesionalnya sepanjang berada di BAM, berjanji akan meneruskan usaha membimbing beregu lelaki ke arah kejayaan lebih cemerlang.

    “Beliau telah membina asas dalam bahagian beregu lelaki untuk kami terus membangunkannya dan beliau telah menyumbang kepada banyak pencapaian bermakna.

    “Saya bangga dengan usaha yang telah kami laksanakan bersama. Saya doakan yang terbaik untuk perjalanan beliau selepas ini.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda