WASHINGTON, 31 JULAI – Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita Amerika Syarikat (AS), Jill Ellis yang membantu pasukan berkenaan meraih gelaran Piala Dunia buat kali kedua akan melepaskan jawatannya selepas Jelajah Kemenangan AS pada awal Oktober ini.
Perkara tersebut diumumkan oleh badan induk bola sepak AS pada hari ini.
Skuad bimbingan Ellis berjaya menewaskan Belanda dengan keputusan 2-0 dalam saingan akhir Piala Dunia Wanita pada 7 Julai lalu di Perancis sekali gus mempertahankan gelaran diraih empat tahun lalu di Kanada.
Ellis yang dilantik mengalas tugas berkenaan sejak Mei 2014 selepas Tom Sermanni dipecat sebulan sebelum itu, telah membantu skuad wanita AS meraih pelbagai kemenangan dan jelajah pada Oktober adalah majlis perpisahan bagi dia.
“Apabila saya menerima tugas sebagai ketua jurulatih, saya telah tetapkan satu tempoh masa yang harus saya ikuti.
“Tempoh masa berkenaan berakhir tepat pada masanya iaitu selepas membantu pasukan ini meraih kejayaan. Bagi saya kini adalah masa untuk bersama keluarga saya,” kata Ellis.
Sepanjang skuad wanita AS berada di bawah bimbingan Ellis, dia telah membantu pasukan itu memenangi lapan kejohanan besar. – AFP
