Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurulatih legenda bola keranjang meninggal dunia

    WASHINGTON, 2 NOV – Jurulatih legenda bola keranjang kolej Amerika, Bob Knight, seorang tokoh yang lantang menyuarakan pendapatnya secara terbuka dan kontroversi yang memimpin Amerika Syarikat (AS) meraih emas Olimpik Los Angeles 1984, meninggal dunia semalam pada usia 83 tahun.

    Selain menjadi ketua jurulatih pasukan AS dengan bintang-bintang terkenal pasukan bola keranjang NBA seperti Michael Jordan dan Patrick Ewing untuk memenangi emas Olimpik, Knight juga telah berjaya membimbing Universiti Indiana meraih kejuaraan bola keranjang kolej AS pada tahun 1976, 1981 dan 1987.

    “Kami dengan berat hati ingin berkongsi berita bahawa jurulatih Bob Knight telah meninggal dunia di rumahnya di Bloomington, Indiana, ditemani keluarga terdekatnya,” kata keluarga Knight dalam satu kenyataan.

    “Kami amat bersyukur atas segala doa yang diberikan serta menghargai penghormatan terhadap privasi kami kerana Bob telah meminta agar satu perhimpunan keluarga secara peribadi diadakan, yang akan kami hormati.

    Kami akan terus meraikan hidupnya dan mengingatinya, hari ini dan selama-lamanya, sebagai suami, bapa, jurulatih dan sahabat yang dikasihi.”

    Bob Knight berucap semasa pemberhentian kempen bagi calon presiden Republikan, Donald Trump di Indianapolis. – AP

    Knight pernah terkenal kerana melemparkan sebuah kerusi di gelanggang semasa satu perlawanan, yang menyebabkan dia diusir dan dipecat daripada Indiana pada tahun 2000 selepas satu insiden dengan seorang pelajar.

    Dalam tempoh 42 tahun sebagai jurulatih utama kolej, Knight berjaya mencatat rekod kemenangan sebanyak 902-371 semasa berkhidmat di Academy (1966-71), Indiana (1972-2000) dan Texas Tech (2001-2008).

    Pada masa persaraannya, Knight adalah jurulatih dengan rekod kemenangan terbanyak dalam sejarah bola keranjang kolej AS dan menduduki tempat keenam dalam senarai tersebut.

    Knight, yang dimasukkan ke dalam Hall of Fame bola keranjang AS pada tahun 1991, telah berjaya membimbing pasukan Hoosiers untuk meraih kejuaraan tanpa kalah pada tahun 1976. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda