Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurulatih pengajaran pemangkin perubahan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Bimbingan pengajaran terbukti sebagai alat yang berkuasa bagi membangunkan pendidik dan meningkatkan prestasi pelajar.

    Dalam hubungan itu, jurulatih pengajaran memainkan peranan yang penting dalam sekolah sebagai pemangkin bagi perubahan, membimbing pendidik ke arah mengguna pakai amalan pengajaran inovatif yang bukan sahaja akan menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga memupuk kemahiran abad ke-21.

    Mereka merupakan mentor dan pembimbing yang memperkasakan pendidik untuk menyampaikan arahan khusus bagi memenuhi pelbagai keperluan pelajar-pelajar.

    Namun begitu, hanya dengan sokongan dan hala tuju strategik daripada pemimpin sekolah, jurulatih-jurulatih pengajaran mempunyai peluang yang lebih baik meraih kejayaan dalam memperjuangkan pendidikan berkualiti saksama.

    Sinergi antara pemimpin sekolah dan jurulatih pengajaran merupakan pemacu sekolah-sekolah ke arah kecemerlangan, tekan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapannya semasa Perasmian Seminar Pakar Pendidikan ke-4, 2024 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah ketika menyampaikan ucapan dan melancarkan Seminar Pakar Pendidikan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam hubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk mengesahkan semula komitmen mereka kepada kecemerlangan dalam pendidikan dengan memastikan setiap pelajar mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran dan pemikiran yang mereka perlukan untuk berkembang maju dalam dunia hari esok.

    Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Datin berkata bahawa pembangunan amalan bimbingan pengajaran di Brunei Darussalam merupakan bukti kepada komitmen negara yang tidak berbelah-bahagi kepada inovasi dan kecemerlangan pendidikan.

    Perjalanan itu bermula dengan Projek Bimbingan Numerasi dan Literasi (LNCP) iaitu usaha kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Education Development Trust (CfBT Brunei) dari Ogos 2016 hingga Julai 2019.

    Pada masa ini, LNCP diurus sepenuhnya oleh LNCP Core Team, Kementerian Pendidikan di mana menerusi inisiatif berkenaan, mercu tanda signifikan telah dicapai termasuk penubuhan Rangka Kerja Kompetensi Teaching for Mastery (TfM) dan pengiktirafan lapan pembimbing utama di BDLTA untuk mengendalikan Program Latihan Bimbingan.

    Di samping itu, 15 pemimpin sistemik telah dilatih dan diiktiraf untuk menubuhkan asas bagi pembangunan dan pertumbuhan mampan, jelasnya lagi.

    Sehingga November 2023, tambah beliau, program berkenaan telah mencapai tahap yang luar biasa dengan lapan pembimbing utama, 16 jurulatih kanan, 164 jurulatih, 124 jurulatih pelatih dan 655 rakan kongsi belajar.

    Pada masa yang sama, 78 peratus sekolah-sekolah menengah dan rendah kerajaan mempunyai jurulatih diiktiraf dalam sekolah mereka manakala sekolah-sekolah selebihnya mempunyai guru-guru yang sedang dalam latihan atau akan dilatih untuk menjadi jurulatih yang menekankan guna terima dan impak meluas di serata landskap pendidikan negara.

    Perkembangan luar biasa itu, tekan Yang Berhormat Datin lagi, merupakan bukti komitmen negara kepada memupuk budaya peningkatan dan memperkasakan pendidikan berterusan untuk memacu perubahan positif dalam amalan pengajaran serta pembelajaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda