Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Pasukan Bola Sepak Bawah 18 Tahun (B-18) Brunei Darussalam membuka tirai perlawanan pusingan kelayakan Piala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) B-19 dalam Kumpulan F dengan langkah kiri semalam.
Pasukan negara, yang berada dalam kumpulan yang sama dengan tuan rumah Korea Selatan,Timor Leste, Indonesia dan Malaysia, terpaksa akur selepas tewas dalam perlawanan pertama kepada Indonesia dengan keputusan 5-0 di Stadium Awam Paju.
Gol-gol Indonesia dijaringkan seawal minit ke-18 dan satu lagi jaringan sebelum rehat untuk menjadikan kedudukan 2-0 separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, Indonesia menambah tiga lagi jaringan bagi melengkapkan kemenangan mereka dalam perlawanan pembukaan itu.
Dalam perlawanan lain di kumpulan yang sama, Timor Leste menentang Pasukan Malaysia yang menyaksikan perlawanan berpihak kepada Malaysia dengan jaringan 3-1.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/afc-rubie_021117.jpg)
Saingan pasukan negara seterusnya adalah menentang pasukan tuan rumah Korea Selatan pada hari Khamis ini, dan kemudian menghadapi saingan dari Malaysia sebelum menamatkan peringkat kumpulan menentang Timor Leste pada 8 November.
Jurulatih pasukan negara, Takao Fujiwara, berharap pasukan akan mengambil positif dengan kekalahan itu dan bertekad untuk memperkemaskan skuad negara dengan memperbaiki kesilapan perlawanan pembukaan itu.
“Saya akui perlawanan itu sangat sukar berikutan perbezaan tahap permainan antara kedua-dua negara namun mereka hanya berpeluang menjaringkan gol atas kesilapan kita dan kita perlu memperbetulkan kesilapan itu untuk perlawanan seterusnya.”