SAO PAULO, 31 JULAI – Jurulatih pasukan wanita kelab bola sepak Brazil, Rio Branco meletak jawatan semalam dalam protes atas keputusan pasukan lelaki untuk mendapatkan kontrak penjaga gol bintang Brazil, Bruno, yang disabitkan kesalahan pada tahun 2013 kerana membunuh kekasihnya.
Bruno Fernandes das Dores de Souza,nama penuh pemain, adalah salah satu bintang muda Brazil yang paling mengagumkan, tetapi kariernya terhenti pada tahun 2010 ketika dia ditangkap kerana disyaki membunuh bekas kekasihnya yang mempunyai seorang anak.
Bruno, kini berusia 35 tahun, disabit kesalahan tiga tahun kemudian.
Walaupun dia kini telah dibebaskan dari penjara sementara menunggu rayuannya, jurulatih wanita Rio Branco, Rose Costa berkata sabitan kesalahannya harus menjadikan kontraknya tidak sah.
“Kisah hidup saya sebagai seorang wanita dan profesional menghalang saya untuk tinggal di Rio Branco,” tulisnya di Instagram, mengumumkan pengunduran dirinya dengan segera.

“Saya perlu menghormati kepercayaan saya sendiri, termasuk yang kita mendidik menerusi teladan.”
Rio Branco, yang berpangkalan di negeri utara Acre, bermain dalam divisyen keempat liga Brazil.
Pada masa dia ditangkap, Bruno ialah penjaga gawang utama untuk kelab terkemuka Flamengo dan telah membuat persembahan yang mengagumkan.
Tetapi kerjayanya terjejas oleh kes perbicaraan mahkamah.
Dia dijatuhi hukuman 20 tahun sembilan bulan kerana membunuh Eliza Samudio, model berusia 25 tahun dan menculik anak lelaki mereka.
Dia dibebaskan pada tahun 2017, sementara menunggu rayuan dan menandatangani kontrak dengan kelab Boa Esporte, tetapi kemudian ditangkap semula apabila keputusan untuk membebaskannya dibatalkan di mahkamah.
Dibebaskan sekali lagi, dia bermain semula tahun lalu untuk pasukan divisyen tiga, Pocos de Caldas.
Kontrak yang diumumkan Rio Branco pada Ahad lalu telah cetuskan kontroversi. – AFP