BELGRADE, 12 OKT – Jurulatih Serbia, Dragan Stojkovic mengumumkan lewat kelmarin dia telah meletakkan jawatan selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Albania dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di laman sendiri.
“Saya telah berbincang dengan Presiden dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Serbia,” kata Stojkovic pada sidang akhbar selepas perlawanan yang diadakan di bandar selatan Leskovac.
“Saya telah menawarkan peletakan jawatan saya, mereka juga akan membuat pengumuman, tetapi saya tidak akan ke Andorra untuk mengetuai pasukan,” katanya, seperti yang dipetik oleh penyiar milik kerajaan RTS.
Stojkovic merujuk kepada perlawanan kelayakan Piala Dunia Serbia seterusnya menentang Andorra pada Selasa.
Keputusan kelmarin itu adalah “amat mengecewakan, saya tidak menjangkakannya,” kata jurulatih berusia 60 tahun itu, sambil menyalahkan dirinya atas kekalahan tersebut.
Bekas pemain tengah yang digelar ‘Piksi’ itu mengambil alih tugas sebagai jurulatih Serbia pada tahun 2021.
Sebagai pemain, beliau telah membuat 84 penampilan untuk bekas Yugoslavia antara tahun 1983 hingga 2001 dan merupakan antara pemain Eropah terkenal pertama yang beraksi dalam bola sepak Jepun.
Stojkovic menyertai kelab Liga-J, Nagoya Grampus Eight, antara tahun 1994 hingga 2001.
Selepas bersara sebagai pemain, Stojkovic pernah menjadi pengerusi Red Star Belgrade untuk tempoh singkat sebelum beralih ke bidang kejurulatihan bersama Nagoya, dan seterusnya pasukan China, Guangzhou. Serbia kini menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan K, dengan England di tangga teratas dan Albania di tempat kedua.
Sementara itu, media Serbia melaporkan Stojkovic mungkin digantikan oleh bekas pemain dan pengurus bola sepak, Veljko Paunovic. – AFP


