SHANGHAI, 13 Sept – Jurulatih Shanghai SIPG Andre Villas-Boas (gambar) menuduh Guangzhou Evergrande menggunakan teknik kotor selepas kemenangan epik suku akhir Liga Juara-Juara AFC dengan menuduh tuan rumah mendalangi satu siri ‘kemalangan’ jalan untuk melambatkan ketibaan SIPG di stadium.
Evergrande hampir menemui keajaiban untuk menterbalikkan defisit 4-0 pusingan pertama tetapi SIPG berjaya bangkit pada pertemuan luar biasa kelmarin dengan kemenangan penentuan penalti selepas seri dengan agregat 5-5.
Ini adalah kali pertama SIPG mencecah empat pasukan terakhir kejohanan kelab utama Asia tetapi bekas pengurus Chelsea dan Tottenham Hotspur itu meluahkan kemarahannya kemudian.
Jurulatih dari Portugal itu mengecam pengadil Iran Alireza Faghani, yang mengetepikan dua pemain SIPG dalam masa tambahan, namun meluahkan kemarahannya kepada pemenang Liga Juara-Juara AFC dua kali itu.
Rakaman video yang disiarkan dalam talian yang diambil dari sudut pasukan SIPG dalam perjalanan ke venue perlawanan menunjukkan lima kali halangan di jalan raya melibatkan kereta yang sama di bandar selatan itu.
“Kami tiba dengan bas untuk permainan ini. Dua kereta yang sama mengalami tiga kemalangan di hadapan kami, jadi itulah masalahnya,” kata Villas-Boas selepas permainan sambil menunjuk jari tepat kepada Evergrande.
“Ini adalah kejayaan besar SIPG memandangkan satu kelab dominan di AFC tetapi kami boleh melakukan segala-galanya. Mereka boleh menghalang hotel dan menyebabkan orang mengalami kemalangan di hadapan kami.”
Evergrande tidak segera mengulas dakwaan Villas-Boas. Dalam rakaman itu, jalan tersekat lima kali dalam kejadian berasingan ketika dua atau tiga buah kereta berwarna perak berhenti selepas perlanggaran walaupun tidak jelas jika mereka pernah berlanggar sebelum ini.
Sesetengah peminat dan media Guangzhou menyanggah dengan mendakwa SIPG telah memulakan permainan yang tidak menyenangkan pada perlawanan pertama. – AFP