Tuesday, April 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurulatih taekwondo dipenjara atas kesalahan dera pelajar

    SEOUL, 13 APRIL – Sebuah mahkamah di Korea Selatan telah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas seorang jurulatih taekwondo atas kesalahan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematian mangsa di pusat latihan miliknya.

    Pada 10 April, Mahkamah Daerah Uijeongbu menjatuhkan hukuman tersebut ke atas jurulatih berusia 30an itu, selepas mendapati dia bersalah atas pertuduhan penderaan kanak-kanak yang mengakibatkan kematian.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh mengikuti program rawatan penderaan kanak-kanak selama 40 jam serta melarangnya daripada bekerja di mana-mana institusi berkaitan kanak-kanak dan remaja selama 10 tahun.

    Menurut keputusan mahkamah, jurulatih itu telah meletakkan kanak-kanak tersebut dalam keadaan terbalik di dalam gulungan tikar lantai dan membiarkannya dalam posisi itu selama 27 minit di sekolah seni mempertahankan diri miliknya di Yangju, Gyeonggi.

    “Defendan sedar akan risiko kematian terhadap kanak-kanak itu tetapi gagal mengambil sebarang tindakan,” kata mahkamah.

    “Dia juga secara berterusan telah mendera lebih daripada 20 kanak-kanak lain dalam tempoh yang panjang dan menganggap tindakannya sebagai sekadar permainan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan rasa kesalnya.”

    Selain menafikan tanggungjawab, tertuduh juga dilaporkan cuba menyalahkan jurulatih lain serta memadam rakaman CCTV untuk memusnahkan bukti.

    Mahkamah menyifatkan perbuatannya bukan sahaja sebagai penderaan, malah sebagai cubaan serius untuk menyembunyikan jenayah dan menghalang proses keadilan.

    Walaupun pihak pendakwa raya menuntut hukuman penjara seumur hidup, mahkamah memutuskan hukuman penjara selama 30 tahun. – ANN/The Star

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda