MELAKA, 14 OKT – Ketua jurulatih Uzbekistan Fabio Cannavaro berpuas hati dengan prestasi anak buahnya walaupun tewas tipis 1-2 kepada gergasi Amerika Selatan, Uruguay, dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam tadi.
Cannavaro, yang mengetuai Itali merangkul gelaran Piala Dunia FIFA 2006 berkata, pemainnya menunjukkan semangat juang yang tinggi dan disiplin taktikal ketika menentang pasukan berbakat besar itu.
“Mereka bermain dengan sangat baik, sudah tentu jaringan itu penting. Kami mempunyai beberapa peluang pada awal permainan yang tidak disempurnakan, namun saya menghargai usaha yang ditunjukkan oleh para pemain.
“Ketika menguasai bola, kami cuba mencipta peluang untuk menyukarkan Uruguay, tetapi tidak mudah kerana kebanyakan pemain mereka beraksi di Brazil dan liga utama di seluruh dunia. Bagaimanapun, saya gembira dengan pasukan saya, mereka muda dan berpotensi besar untuk terus meningkat,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan.
Cannavaro berkata, mereka mempunyai kira-kira lapan bulan untuk bersiap sedia menjelang pusingan akhir Piala Dunia, sambil menegaskan disiplin di dalam dan luar padang akan menjadi kunci kejayaan.
“Kita tidak boleh ke Piala Dunia tanpa persediaan rapi kerana saingan itu akan menjadi amat sukar. Perlawanan antarabangsa seperti ini sangat penting,” katanya.
Dalam perlawanan persahabatan malam tadi, Uruguay yang dikendalikan Marcelo Bielsa memperoleh jaringan menerusi Torres Peres pada miint ke-51 dan Juan Manuel Sanabria pada minit ke-60 manakala Uzbekistan yang kini berada di ranking ke-54 dunia, merapatkan kedudukan pada minit ke-82 melalui jaringan Ruslanbek Jiyanov.
Uzbekistan layak ke Piala Dunia FIFA 2026 buat kali pertama, dan Cannavaro menekankan bahawa setiap aksi persahabatan dalam beberapa bulan akan datang amat penting untuk memperkukuh keserasian dan tahap kesiapsiagaan pasukan. – Bernama


