LONDON, 11 JAN – Jurulatih Wales, Rob Page akan cuba meyakinkan Gareth Bale untuk terus terlibat dalam skuad antarabangsa selepas bintang itu mengumumkan persaraanya dari pentas bola sepak.
Bale, pemenang Liga Juara-Juara lima kali bersama Real Madrid, menamatkan karier cemerlangnya pada Isnin, selepas meraih 111 penampilan dan menjaringkan 41 gol untuk negaranya – kedua-duanya rekod kebangsaan untuk pasukan lelaki.
Keputusan pemain berusia 33 tahun itu untuk berhenti dibuat selepas prestasi mengecewakan Wales pada Piala Dunia pertama mereka sejak 1958, di mana pasukan kendalian Page gagal mara dari peringkat kumpulan dan Bale bergelut kerana kurang kecergasan.
“Apabila awda mempunyai seseorang yang setanding dengan Gareth Bale, apa yang dia telah lakukan untuk Wales dan impak yang dia boleh berikan, walaupun di bilik persalinan, hanya berada di sekeliling pemain, maka itu adalah sesuatu yang perlu saya manfaatkan,” kata Page, kelmarin.
“Dia berminat untuk melakukannya – dalam kapasiti apa pun, kami akan berbincang selama beberapa minggu akan datang. Itu sesuatu yang saya inginkan dan saya ingin memastikan dia terlibat.”
Persaraan Bale menandakan berakhirnya eranya memainkan peranan utama dalam membawa Wales ke tiga daripada empat kejohanan utama yang lalu.
Pada kemuncak prestasinya di Euro 2016, Bale mengaspirasikan perjalanan luar biasa pasukannya ke separuh akhir dalam kejohanan utama pertama negara selama 58 tahun. – AFP
