Lain kali awda dijadualkan untuk pemeriksaan perubatan, awda mungkin menerima panggilan daripada seseorang seperti Ana, suara mesra yang membantu awda bersiap sedia untuk temu janji dan menjawab soalan mendesak.
Dengan nada suara yang tenang dan menenangkan, Ana dilatih untuk memberi keselesaan kepada pesakit seperti ramai jururawat di seluruh AS. Tetapi tidak seperti mereka, Ana tersedia 24/7 dalam pelbagai bahasa, daripada Hindi hingga Kreol Haiti.
Ini kerana Ana bukan manusia, tetapi program kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh Hippocratic AI, salah satu daripada beberapa syarikat baharu yang menawarkan penyelesaian untuk mengautomasikan tugas-tugas yang biasanya dilakukan oleh jururawat dan pembantu perubatan.
Ini adalah tanda paling ketara tentang pengaruh AI dalam penjagaan kesihatan, di mana ratusan hospital kini menggunakan program komputer canggih untuk memantau tanda-tanda vital pesakit, mengesan keadaan kecemasan, dan mencetuskan pelan tindakan penjagaan langkah demi langkah tugas yang sebelum ini dikendalikan sepenuhnya oleh jururawat dan profesional kesihatan lain.
Hospital mendakwa AI membantu jururawat bekerja dengan lebih cekap dan menangani masalah keletihan serta kekurangan kakitangan. Namun, kesatuan jururawat berhujah bahawa teknologi yang masih belum difahami sepenuhnya ini mengancam kepakaran jururawat dan merendahkan kualiti penjagaan pesakit.
“Hospital telah lama menunggu saat di mana mereka mempunyai sesuatu yang kelihatan cukup sah untuk menggantikan jururawat,” kata Michelle Mahon dari National Nurses United. “Seluruh ekosistem ini direka untuk mengautomasikan, mengurangkan kemahiran, dan akhirnya menggantikan jururawat.”
MENENTANG KRISIS TEMBAKAU
Kesatuan jururawat membangkitkan kebimbangan pada Januari apabila Setiausaha Kesihatan yang baru dilantik, Robert F. Kennedy Jr., mencadangkan jururawat AI ‘sebaik doktor sebenar’ boleh digunakan untuk memberikan rawatan di kawasan luar bandar.
Dr Mehmet Oz, yang dicalonkan untuk mengetuai Medicare dan Medicaid, berkata beliau percaya AI boleh ‘membebaskan doktor dan jururawat daripada tugas pentadbiran’.
Hippocratic AI sebelum ini mempromosikan kadar bayaran AS$9 (RM40) sejam untuk pembantu AI mereka, berbanding sekitar AS$40 (RM177) sejam untuk jururawat berdaftar.
Namun, syarikat itu telah menarik balik kenyataan tersebut dan kini lebih menekankan manfaat serta keselamatan teknologi mereka.
AI DI HOSPITAL BOLEH MENCETUSKAN AMARAN PALSU DAN NASIHAT BERBAHAYA
Hospital telah bereksperimen selama bertahun-tahun dengan teknologi yang bertujuan meningkatkan penjagaan pesakit dan mengurangkan kos, termasuk sensor, mikrofon dan kamera berasaskan gerakan.
Kini, data ini dihubungkan dengan rekod perubatan elektronik dan dianalisis untuk meramalkan masalah kesihatan serta membimbing penjagaan jururawat kadangkala sebelum pesakit sendiri diperiksa.
Adam Hart, seorang jururawat di bilik kecemasan Dignity Health, Nevada, berkongsi pengalaman apabila sistem komputer hospital menandakan seorang pesakit yang baru tiba sebagai mengalami sepsis, satu reaksi berbahaya terhadap jangkitan.
Mengikut protokol hospital, dia sepatutnya segera memberikan dos besar cecair IV kepada pesakit.
Namun, selepas pemeriksaan lanjut, Hart mendapati pesakit itu menjalani dialisis akibat kegagalan buah pinggang, di mana pemberian cecair IV dalam jumlah besar boleh mendatangkan bahaya.
Hart menyuarakan kebimbangannya kepada jururawat penyelia tetapi diberitahu supaya hanya mengikuti protokol standard.
Hanya selepas seorang doktor berdekatan campur tangan, barulah pesakit diberikan infusi IV perlahan yang lebih selamat.
“Kita perlu sentiasa berfikir secara kritis itulah sebabnya kita dibayar sebagai jururawat,” kata Hart.
“Menyerahkan proses pemikiran kita kepada peranti ini adalah tindakan yang cuai dan berbahaya.”
BOLEHKAH AI MEMBANTU DI HOSPITAL?
Walaupun teknologi AI paling canggih sekalipun masih gagal mengesan isyarat halus yang sering dikenali oleh jururawat, seperti ekspresi wajah dan bau badan, kata Michelle Collins, dekan Kolej Kejururawatan Universiti Loyola.
“Kita tidak boleh menolak teknologi ini sepenuhnya,” katanya.
“Kita harus menerima apa yang boleh dilakukan AI untuk meningkatkan penjagaan kita, tetapi pada masa yang sama memastikan ia tidak menggantikan elemen kemanusiaan.”
Menurut anggaran, lebih 100,000 jururawat meninggalkan tenaga kerja semasa pandemik COVID-19, penurunan terbesar dalam 40 tahun. Dengan populasi AS semakin tua dan ramai jururawat bersara, kerajaan AS menjangkakan lebih 190,000 kekosongan jururawat setiap tahun sehingga 2032. – AP