Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jururawat Australia nafi kendali khidmat ibu tumpang

    PHNOM PENH, 13 Jun – Seorang jururawat Australia menafikan mengendalikan perkhidmatan ibu tumpang di Kemboja apabila perbicaraannya bermula hari ini dalam satu kes pertama di negara yang mengharamkan perkhidmatan tersebut baru-baru ini.

    Tammy Davis-Charles, 49, ditahan pada akhir November bersama dua warga Kemboja dan dituduh merekrut pasangan asing dan ibu tumpang Kemboja untuk sebuah klinik di Phnom Penh.

    Penahanan berlaku dua minggu selepas Kemboja bertindak mengharamkan industri ibu tumpang, yang dikatakan oleh pengkritik mengeksploitasi wanita miskin selepas pengharaman sama di Thailand mendorong perniagaan tersebut merentas sempadan.

    Ketiga-tiga mereka juga didakwa memalsukan dokumen untuk mendapatkan sijil lahir anak damit yang baru lahir. Di mahkamah hari ini, Davis-Charles berkata beliau tidak mempunyai peranan dalam mengatur perkhidmatan ibu tumpang itu.

    Sebaliknya beliau berkata peranannya adalah terbatas kepada penyediaan penjagaan perubatan kepada 23 ibu tumpang yang mengandung anak damit untuk 18 pasangan Australia dan lima pasangan Amerika.

    Tammy Davis-Charles (kanan) dibawa dengan kereta banduan menuju Mahkamah Perbandaran Phnom Penh, kelmarin. Dalam perbicaraannya kelmarin, jururawat Australia itu menafikan mengendalikan perkhidmatan ibu tumpang di Kemboja dalam satu kes pertama di negara yang mengharamkan perkhidmatan tersebut baru-baru ini.
    Tammy Davis-Charles (kanan) dibawa dengan kereta banduan menuju Mahkamah Perbandaran Phnom Penh, kelmarin. Dalam perbicaraannya kelmarin, jururawat Australia itu menafikan mengendalikan perkhidmatan ibu tumpang di Kemboja dalam satu kes pertama di negara yang mengharamkan perkhidmatan tersebut baru-baru ini.

    “Mereka sendiri mencari klinik, kata beliau merujuk kepada bakal ibu bapa warga asing sambil menambah beliau juga tidak terbabit merekrut ibu tumpang Kemboja.

    Jururawat itu berkata beliau menerima AS$8,000 daripada setiap pasangan sementara ibu tumpang menerima kira-kira AS$10,000. Kesemua anak damit yang dilahirkan dibawa keluar dari Kemboja sebelum beliau ditahan, tambahnya.

    Davis-Charles, yang berasal dari Melbourne, memberitahu mahkamah beliau meninggalkan Thailand lebih setahun lalu selepas Bangkok mengharamkan perkhidmatan ibu tumpang komersial dan berpindah ke Kemboja, yang pada masa itu tidak mempunyai peraturan mengenai industri berkenaan.

    Thailand bertahun-tahun lamanya mengendalikan industri perkhidmatan ibu tumpang antarabangsa popular yang tidak terkawal terutama dalam kalangan pasangan sama jantina.

    Namun beberapa skandal pada 2014 termasuk pergelutan berhubung penjagaan mendorong kerajaan mengharamkan warga asing daripada menggunakan ibu tumpang Thai.

    Pakar perunding perkhidmatan ibu tumpang berkata negara komunis Laos yang miskin di utara, telah muncul sebagai negara seterusnya menjalankan perniagaan ‘menyewa rahim’ ekoran pengharaman oleh Kemboja, Thailand, Nepal dan India baru-baru ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda