Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Dalam menyambut Hari Antarabangsa Jururawat dan Bidan 2024, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) bekerjasama dengan Jawatankuasa Ibadah Friendly Hospital (IFH) untuk meraikan sumbangan cemerlang jururawat dan bidan.
Sambutan yang membawa tema Our Nurses. Our Future. The Economic Power of Care itu mengetengahkan impak positif melabur dalam tenaga kerja kejururawatan bagi penjagaan kesihatan, pembangunan ekonomi, keamanan dan kesejahteraan masyarakat.
Bagi memulakan acara, JPMC telah menghoskan Majlis Ceramah Khas, Doa Kesyukuran dan Meraikan Saudara-saudara Baru yang berlangsung di Dewan Kuliah, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC).
Menurut kenyataan oleh JPMC, majlis itu dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, dalam kapasitinya sebagai Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC, lembaga-lembaga pengarah JPMC, pengurusan kanan dan ketua-ketua jabatan JPMC dan PJSC.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Awang Ishkandar bin Haji Buntar yang diikuti oleh ceramah bertajuk Kemuliaan Peranan Jururawat dan Bidan Menurut Islam, yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Isham bin Ismail.
Majlis diteruskan dengan Dikir Ashraqal dan penyampaian cenderamata kepada sembilan orang kakitangan saudara-saudara baharu dari JPMC dan PJSC yang telah memeluk Islam sejak 2022.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan memotong kek. Siri acara yang diadakan itu adalah sebagai bukti pengiktirafan dan penghargaan atas sumbangan berharga yang dibuat oleh jururawat dan bidan, menekankan peranan signifikan mereka dalam ekosistem penjagaan kesihatan.



