Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jururawat dan bidan ejen utama kepada daya tahan ekonomi negara

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN – Bidang kejururawatan dan perbidanan merupakan tulang belakang kepada penjagaan kesihatan dan adalah satu profesion yang sangat mulia yang perlu kita lindungi, hormati dan hargai.

    Peredaran modenisasi yang serba canggih pada masa ini memerlukan semua jururawat dan bidan untuk menjadi lebih dinamik, berkembang maju bermula daripada penjagaan asas sehingga ke peringkat yang lebih tinggi, lebih teknikal dan inovatif.

    Secara global, tenaga kerja kejururawatan berada di tengah-tengah krisis, iaitu kekurangan kakitangan kronik, keadaan kerja yang tidak selamat dan gaji yang tidak mencukupi yang menjadi penyebab kemelut seperti keletihan, kemerosotan kualiti kerja, dan penghijrahan profesional ke persekitaran kerja yang lebih selesa.

    “Fenomena ini memberikan implikasi yang sangat mendalam pada sistem kesihatan awam, ekonomi, dan masa depan penjagaan kesihatan.

    “Oleh yang demikian, sempena Hari Jururawat Antarabangsa ini, penggubal dasar perlulah mengambil langkah yang tegas untuk membina dan mengoptimumkan tenaga kerja kejururawatan yang berkekalan, kuat dan mampan.”

    Penekanan kepada membina dan mengoptimumkan tenaga kerja kejururawatan berkenaan dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan Sempena Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2025.

    Barisan jururawat yang bertugas di Kementerian Kesihatan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    Gambar fail Muiz Matdani

    HARI JURURAWAT DAN BIDAN ANTARABANGSA (INMD) 2025

    Setiap tahun, Hari Jururawat Antarabangsa (IND) disambut pada 12 Mei dan Hari Bidan Antarabangsa (IDM) disambut pada 5 Mei.

    Di Negara Brunei Darussalam, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, IND dan IDM digabungkan dan diraikan serentak pada setiap 12 Mei dan dinamakan sebagai Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa (INMD).

    Sambutan IND 2025 membawa tema yang disediakan oleh Majlis Jururawat Antarabangsa (ICN) iaitu Jururawat Kita. Masa Depan Kita. Menjaga Jururawat Mengukuhkan Ekonomi, menekankan mengenai peranan penting yang dimainkan oleh tenaga kerja kejururawatan yang sihat dalam mengukuhkan ekonomi, meningkatkan sistem kesihatan dan memastikan hasil yang lebih baik untuk komuniti di seluruh dunia.

    Sementara itu, IDM 2025 pula mengetengahkan tema, Bidan: Kritikal Dalam Setiap Krisis.

    MENJAGA KESEJAHTERAAN JURURAWAT DAN BIDAN

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menekankan bahawa mengutamakan kesejahteraan jururawat memberikan kesan kepada peningkatan kualiti penjagaan, peningkatan pengekalan tenaga kerja serta mengukuhkan prestasi ekonomi. Jururawat merupakan tulang belakang kepada sistem penjagaan kesihatan terutama dalam penjagaan kesihatan asas, kesihatan ibu dan anak, dan pengurusan penyakit kronik.

    Oleh itu, Kementerian Kesihatan akan terus menjaga dan melabur dalam tenaga kerja kejururawatan, melalui gaji yang berpatutan, sokongan kesihatan mental dan pembangunan profesional yang berterusan bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan di Negara Brunei Darussalam kekal berdaya tahan dan responsif serta seterusnya dapat melindungi kesejahteraan dan kestabilan negara.

    MEMBERIKAN PELUANG PEMBANGUNAN TENAGA KERJA

    Kementerian Kesihatan juga komited dalam pengukuhan profesion kejururawatan dan perbidanan dengan menyokong jururawat-jururawat dan bidan-bidan untuk mengikuti latihan atau krusus di dalam dan luar negeri, membuat penyelidikan dan melibatkan diri dalam apa jua aktiviti-aktiviti pembangunan yang ada.

    Perkara itu bukan sahaja menyumbangkan kepada pembangunan diri masing-masing malahan dapat meningkatkan hasil penjagaan kesihatan di negara ini.

    MENYEDIAKAN  PERSEKITARAN YANG POSITIF DAN SELAMAT

    Persekitaran tempat kerja yang selamat, menyokong dan positif, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, mampu menyumbang kepada pemberian penjagaan kesihatan yang lebih baik dan berkualiti, pengekalan tenaga kerja yang lebih tinggi serta sistem kesihatan yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

    Perkara itu secara keseluruhannya dapat memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

    Sambutan INMD 2025, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham, menyerlahkan kepentingan strategik untuk mengiktiraf, menyokong dan melabur kepada jururawat-jururawat dan bidan-bidan.

    “Mereka ini bukan sahaja dianggap sebagai penyedia penjagaan kesihatan tetapi sebagai ejen utama kepada daya tahan ekonomi, pembangunan negara dan kemajuan sosial.

    “Dalam masa yang sama, saya juga menyeru kepada semua jururawat dan bidan di negara ini untuk sentiasa bersabar, memberikan layanan yang sempurna dan mengekalkan dedikasi yang tinggi dalam menjalankan tugas seharian.”

    Kementerian Kesihatan percaya jururawat dan bidan yang bertanggungjawab dan prihatin mampu menjadikan sistem kesihatan di negara ini mampan dan berkualiti tinggi yang seterusnya dapat memacu kepada perkembangan ekonomi dan masyarakat, sesuai dengan tema sambutan tahun ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda