Thursday, September 19, 2024
34.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jururawat mengaku tidak bersalah sebabkan kematian anak damit

    KOTA BHARU, 17 SEPT – Seorang jururawat mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di Kelantan, hari ini terhadap pertuduhan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang anak damit lelaki berusia sebulan, minggu lepas.

    Nur Ain Natasha Mohd Sabri, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Berdasarkan pertuduhan, Nur Ain Natasha sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi lelaki tersebut, didakwa mendedahkan mangsa kepada situasi yang mungkin menyebabkan kecederaan antara pukul 4:47 pagi hingga pukul 5:30 pagi, pada 9 September lalu di sebuah pusat jagaan berpantang di sini.

    Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan memohon mahkamah tidak memberikan jaminan kepada jururawat itu kerana ia kesalahan yang serius, namun peguam Nur Alini Ahamad Kamil memohon mahkamah membenarkan anak guamannya diikat jamin atas alasan dia masih muda, tidak mempunyai rekod jenayah dan boleh memberi kerjasama dalam siasatan kes tersebut.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

    Nur Ain Natasha mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda