KAFR EL-SHEIKH – Di bawah sinaran matahari yang terik dan angin Mediterranean sepoi-sepoi bahasa, kelihatan bunga kapas mekar di ladang penyelidikan Stesen Penyelidikan Pertanian Sakha di Kafr El-Sheikh di wilayah Delta Nil utara Mesir, yang mengubah tanah menjadi ‘selimut putih’.
Sekumpulan pemetik kapas bekerja keras, mengeluarkan buah kapas dari pokok kapas dan memasukkannya ke dalam beg kecil. Di tepi padang, terdapat guni besar kapas berlonggok seperti bukit kecil.
Dua jenis kapas telah ditanam di ladang penyelidikan, Giza 97, salah satu jenis kapas yang paling banyak ditanam di Mesir, dan Giza 93, salah satu varieti kapas terbaik di dunia dari segi kualiti.
Penuaian di ladang itu tahun ini akan menyediakan maklumat juruteknik agro Mesir untuk meningkatkan lagi penanaman kedua-dua jenis kapas itu.
Salah Saber, ketua pasukan pembenihan kapas di ladang penyelidikan, berkata usaha gigih juruteknik agro telah memberi sumbangan besar kepada pengeluaran kapas berkualiti tinggi, yang menjadi kebanggaan Mesir.
“Kami telah berjaya memecahkan korelasi negatif antara hasil kapas dan kualiti, dan berjaya mendapatkan kedua-duanya pada masa yang sama,” katanya.
Beliau menjelaskan kapas feddan (0.42 hektar) yang dahulunya menghasilkan kira-kira tujuh hingga lapan kantar (kantar bersamaan 45.02 kilo) kapas benih, kini menghasilkan kira-kira 12 hingga 13 kantar, hasil penyelidikan pembenihan kapas.
Agensi Pusat Mobilisasi Awam dan Statistik Mesir (CAPMAS) melaporkan eksport kapas Mesir pada musim kapas sebelumnya, yang bermula pada September 2020 dan berakhir pada Ogos 2021, mencecah 1.7 juta kantar.
Data CAPMAS juga menunjukkan pengeluaran kapas di negara paling ramai penduduk di dunia Arab itu mencapai 2.3 juta kantar pada musim 2020/2021, peningkatan 31 peratus berbanding musim 2019/2020.
Saber berkata ledakan dalam pengeluaran kapas didorong oleh rancangan Mesir untuk mengembangkan penanaman tanaman kontan dan meningkatkan teknologi pembenihan dan penanaman kapas.
Juruteknik pertanian Mesir berusaha untuk mencipta varieti kapas yang memenuhi permintaan petani dari segi hasil, peniaga dari segi kuantiti lin yang dihasilkan, dan pasaran global dari segi kualiti, panjang ruji, kekuatan dan kelembutan serat, tambah Saber. Samar Salem, seorang pemetik kapas, berkata dia gembira bekerja di ladang itu, yang penyelidikannya akan membawa manfaat kepada industri kapas negara itu dan meningkatkan taraf hidup jutaan petani Mesir. – Xinhua