Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurutera bawa pertanian pintar ke pedalaman Sarawak

    Di Long Busang, sebuah kampung terpencil yang terletak di Kapit, bahagian pedalaman Sarawak, penggunaan teknologi dalam pertanian masih lagi asing.

    Justeru, tidak menghairankan jika Cooplay Nyipa Ali, 58, pada awalnya berasa sangsi perkongsian ilmu yang hendak dilakukan itu akan ‘masuk ke telinga’ penduduk.

    Telahannya tersasar, kerana penduduk yang terdiri daripada kaum Kenyah Badeng itu bukan sekadar memberi respons positif tetapi turut menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu yang dicurahkan.  

    Cooplay ialah seorang daripada penceramah dalam Program Digital ke Long Busang anjuran Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) baru-baru ini, yang bertujuan memperkasa komuniti pedalaman dengan ilmu dan kemahiran digital, sekali gus menggalakkan penyertaan mereka dalam ekonomi digital dan memanfaatkan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian. 

    Setiap rumah tanaman dengan 1,500 pokok boleh mengeluarkan hasil hingga 1.2 tan metrik. – GAMBAR BERNAMA

    Long Busang terletak hampir 400 kilometer dari bandar Sibu dengan perjalanan darat mengambil masa kira-kira lapan jam.

    Petempatan itu dihuni oleh kira-kira 1, 400 penduduk dengan kebanyakan mereka bekerja sebagai petani, mengusahakan tanaman seperti sayur-sayuran serta buah-buahan.

    Cooplay menjelaskan kepada Bernama, “saya tahu sektor pertanian amat dekat di hati penduduk di sini kerana mereka telah mempraktikkannya sejak turun-temurun, tetapi saya kagum kerana mereka bersedia untuk mempelajari teknologi baharu dalam  bidang pertanian”.

    Katanya lagi, “sistem fertigasi pintar melibatkan penggunaan struktur pelindung hujan, penyediaan larutan baja mengikut formula khusus, kawalan kelembapan dan suhu yang disepadukan dengan teknologi IoT”.

    Sebagai peserta pertanian pintar, saya tidak perlu berada di TKPM sepenuh masa kerana suhu, penggunaan baja, jumlah sumber untuk penanaman dan lain-lain dipantau menerusi sebuah pusat kawalan maklumat di TKPM.

    “Maklumat dari pusat kawalan ini dapat diakses oleh peserta menerusi komputer peribadi ataupun telefon pintar masing-masing,” kongsinya sambil menambah kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan agak besar untuk infrastruktur tersebut,” ujarnya.

    Pertanian pintar menawarkan peluang ekonomi sebenar buat belia luar bandar di mana menerusi kaedah sistem perlindungan hujan dan penggunaan teknologi terkawal, petani muda boleh menjana pendapatan jauh lebih tinggi berbanding gaji permulaan kebanyakan pekerjaan biasa sekali gus mendorong Cooplay untuk berkongsi ilmu.

    Bagaimanapun, setiap pekerjaan itu pasti ada cabaran termasuk pertanian pintar, dan menurut Cooplay, satu daripadanya ialah dari segi pemasaran selain peserta perlu mengambil inisiatif sendiri untuk memperluas jaringan pemasaran.

    Pokok cili yang ditanam dalam sistem rumah pelindung hujan mampu mengeluarkan hasil kira-kira dua tan metrik. – GAMBAR-GAMBAR OLEH BERNAMA

    “Walaupun tidak perlu membanting tulang seperti pertanian konvensional, pengamal pertanian pintar perlu komited memantau status tanaman mereka sehingga boleh dituai,” katanya, menambah ada peserta gagal berbuat demikian kerana terikat komitmen lain

    Kasim Tega, 50, seorang penduduk Long Busan yang menghadiri perkongsian ilmu itu, tidak sabar untuk mempraktikkan pengetahuan yang diperoleh.

    “Penerangan Cooplay banyak melibatkan benda baharu serta kaedah yang kami tidak tahu. Saya memperoleh banyak pengetahuan baharu, khususnya dalam menjalankan aktiviti pertanian membabitkan kawasan yang tidak besar tetapi memberi pulangan agak lumayan,” katanya.

    Bagi Kelen Belarek, 51, menerusi pertanian pintar dia tidak lagi perlu banyak menggunakan kudrat ataupun berjemur di tengah panas dan dibasahi hujan seperti dulu.

    “Yang penting kita mesti pantau tanaman kita dari mula ditanam hingga tiba waktu menuai, dan hasilnya pun nampak amat memberangsangkan,” katanya.

     Sebagai perintis dalam bidang pertanian pintar di Sarawak, Cooplay bukan sahaja berjaya mempraktikkan teknologi moden seperti fertigasi dan sistem pemantauan berasaskan IoT, malah tampil selaku pendidik yang komited menyebarkan ilmu kepada masyarakat luar bandar. 

    Bagi Cooplay, kejayaan dalam bidang pertanian bukan sekadar hasil tuaian, tetapi juga kejayaan menyemai ilmu kepada generasi muda luar bandar.

    “Prinsip yang saya pegang ialah pertanian bukan sahaja bergantung pada teknologi untuk maju, tetapi juga keikhlasan dalam berkongsi pengetahuan. Saya dilatih secara percuma oleh kerajaan, jadi saya berpegang pada prinsip bahawa ilmu ini juga perlu disebarkan secara percuma,” tegasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda