Wednesday, February 5, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jurutera rugi lebih RM30,000 akibat banjir

    BINTULU, 4 FEB – Malam 29 Januari lepas menjadi tarikh yang tidak dapat dilupakan buat Hazzaid Abdul Muin apabila air dengan cepat memasuki rumahnya di Taman Sebiew Indah, di sini.

    Jurutera berusia 36 tahun itu menyifatkan situasi itu sama seperti adegan filem apabila beliau berdepan detik cemas untuk menyelamatkan keluarganya sebelum air memenuhi ruang rumah.

    “Kita memang terkejut semasa air mula naik pada sekitar 6 pagi (29 Januari) dan kita ingat akan surut tetapi hujan berterusan. Selepas itu sekitar 11 pagi bot bantuan datang untuk memindahkan semua orang,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata banjir yang mula surut pada Jumaat telah menyebabkan beliau kerugian lebih RM30,000.

    “Memang banyak kerugian yang perlu kita tanggung, dua kereta milik kami turut terkesan, sebuah kereta sudah kena angkut ke bengkel. Selain itu kita kerugian barang seperti perabot dan barangan elektronik lain,” katanya.

    Hazzaid menjelaskan buat masa ini pembersihan rumah pascabanjir sedang dijalankan dan usaha tersebut mengambil masa yang lama terutama proses membawa keluar barang-barang rosak

    “Buat masa ini kita sedang bawa barang-barang yang nak buang ke hujung jalan dan akan ada lori yang akan bawa barangan tersebut ke tapak pelupusan.

    “Selepas air surut, pihak majikan saya juga ada tawar bantuan kepada pekerja yang terkesan banjir iaitu mereka telah hantar bantuan tenaga pekerja untuk sama-sama tolong bersihkan rumah,” katanya.

    Setakat pagi ini, seramai 4,687 mangsa masih berada di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di Bintulu susulan bah yang disifatkan paling teruk dalam tempoh 30 tahun di kawasan itu. – Bernama

    Kerja-kerja pembersihan selepas banjir Januari lepas, giat dilakukan oleh sukarelawan yang terdiri daripada penduduk Taman Sebiew Indah ketika tinjauan kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda